Micron Technology mengumumkan kerjasama strategik dengan Anthropic yang merangkumi pembangunan teknologi memori dan storan kecerdasan buatan (AI), perjanjian bekalan, penggunaan Claude dalam operasi Micron serta pelaburan dalam pusingan pembiayaan Siri H Anthropic.
Di bawah perjanjian itu, Micron akan bekerjasama dengan Anthropic untuk mengkaji prestasi sistem memori dan storan merentasi pelbagai beban kerja AI, termasuk bagaimana komponen tersebut berinteraksi dengan keseluruhan seni bina infrastruktur AI. Hasil kerjasama itu dijangka membantu meningkatkan prestasi memori dan storan, serta kecekapan tenaga dan pemprosesan token dalam infrastruktur AI Anthropic.
Selain kerjasama teknikal, kedua-dua syarikat turut memeterai perjanjian bekalan memori dan storan. Menurut Micron, perjanjian itu membolehkan syarikatnya menyokong keperluan Anthropic dalam jangka panjang apabila syarikat AI tersebut terus memperluaskan strategi pengkomputerannya.
Pengeluar cip memori itu turut memaklumkan model Claude telah digunakan secara dalaman untuk pengekodan serta pelbagai tugasan berasaskan ejen AI (agentic AI) dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan operasi perusahaan.Micron berkata penggunaan Claude telah membantu meningkatkan produktiviti dan inovasi, selain menjangkakan penggunaannya akan terus diperluaskan apabila keupayaan AI semakin berkembang.
Nilai kewangan bagi perjanjian bekalan itu serta pelaburan Micron dalam pusingan pembiayaan Siri H Anthropic tidak didedahkan.
Anthropic, syarikat di sebalik Claude, sebelum ini mengesahkan telah memfailkan permohonan sulit bagi penyenaraian awam permulaan (IPO) di Amerika Syarikat selepas berjaya mengumpulkan dana dalam pusingan Siri H yang menilai syarikat itu pada AS$96.5 bilion.
{suggest}
