Mi TV LUX OLED - TV Dengan Paparan Lut Sinar Pertama Didunia Yang Dikomersilkan

Bukan sahaja mengumumkan kehadiran dua telefon pintar Mi 10 Ultra dan Redmi K30 Ultra, Xiaomi sempena acara sambutan ulangtahun 10 tahun mereka turut memperkenalkan Mi TV LUX OLED.



Tidak seperti televisyen sedia ada, Mi TV LUX OLED kelihatan menarik kerana ia hadir dengan paparan lut sinar dengan bezel disekeliling yang nipis. Menurut Xiaomi, ia adalah televisyen dengan paparan lut sinar pertama didunia yang dihasilkan secara besar-besaran.



Dari segi ukuran saiz, ia tampil dengan ukuran 55 inci panel OLED telus, berketabalan 5.7mm dan menyokong 93% spektrum warna DCI-P3. Selain itu, terdapat juga sokongan kadar segar semula 120Hz dan teknologi 120Hz MEMC yang mampu memberikan paparan kandungan yang lebih jelas dan lancar.



Ia juga dikatakan bersesuaian untuk digunakan untuk permainan kerana mempunyai latensi yang rendah dengan kadar respon 1ms.

Bahagian audio pula menyokong Dolby Atmos dan televisyen ini dikuasakan oleh MediaTek 9650, cip pemproses yang dibangunkan untuk televisyen flagship.



Ia akan mula dijual untuk pasaran China pada 16 Ogos ini pada harga RMB 49,999, kira-kira RM30192 mengikut tukaran matawang asing semasa.

Sumber: Xiaomi