Xiaomi Mi 11 Ultra telah pun dilancarkan secara serentak untuk pasaran China dan global pada 29 Mac yang lalu. Melalui acara Mi Fan Festival 2021 (MFF 2021) yang berlangsung hari ini, Xiaomi Malaysia kini mengumumkan Mi 11 Ultra untuk pasaran tempatan.
Mengimbas spesifikasi, Mi 11 Ultra hadir dengan panel skrin kedua berukuran 1.1-inci AMOLED yang diletakkan di sebelah modul kamera belakang. Melalui panel skrin kedua ini, ia boleh digunakan bagi tujuan swafoto serta paparan maklumat untuk masa, cuaca, animasi, pesanan masuk, kawalan muzik dan lain-lain.
Untuk paparan utama, peranti ini dilengkapi skrin melengkung 6.81-inci AMOLED dengan resolusi WQHD+ dan panel 120Hz adaptif. Ia juga didatangkan dengan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus.
Menguasakan Mi 11 Ultra adalah cip pemproses Snapdragon 888. Untuk pasaran tempatan, Xiaomi Malaysia menawarkan varian 12GB RAM LPDDR5 dan 256GB storan berasaskan UFS 3.1.
Menariknya untuk bahagian kamera, Mi 11 Ultra menampilkan sensor 50MP ISOCELL GN2 pada lensa utama. Sensor ini mempunyai saiz fizikal sebesar 1/1.12-inci dengan saiz piksel mencecah 1.4μm serta dilengkapi Dual Pixel Pro, yang menawarkan auto-fokus lebih pantas.
Dua lagi lensa dimuatkan 48MP ultra lebar (IMX586) dan 48MP telefoto (IMX586) dengan 120x zum. Ia turut hadir dengan sokongan dTOF serta rakaman video sehingga 8K.
Mi 11 Ultra juga merupakan antara peranti pertama Xiaomi yang didatangkan dengan ketahanan kalis air dan debu IP68 sehingga 1.5 meter.
Peranti ini dimuatkan bateri berkapasiti 5,000mAh yang juga menyokong pengecasan 67W berwayar dan tanpa wayar serta 10W pengecasan berbalik.
Antara lainnya adalah sokongan audio oleh Harman Kardon, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, NFC, pembesar suara stereo dan sebagainya. Terdapat dua pilihan warna yan ditawarkan iaitu Black dan White.
Harga jualan
Untuk pasaran Malaysia, Mi 11 Ultra dijual pada harga RM4,299 (12GB RAM+256GB). Pra-tempah akan dibuka bermula 8 April 2021 melalui Lazada, Shopee serta Mi Store seluruh negara.
Sebagai tambahan, 200 pelanggan pertama yang mendaftarkan peranti mereka secara dalam talian juga akan menerima Limited Edition Mi Fans Gift Set yang mengandungi rantai kunci Mi Bunny dengan ukiran nama pembeli serta sehelai baju MFF 2021.