Meta kini sedang merancang masa depan di mana watak-watak yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) menjadi bahagian penting dalam platform media sosialnya seperti Facebook dan Instagram.
Langkah ini adalah usaha untuk menarik lebih ramai pengguna muda dan meningkatkan interaksi di kalangan 3 bilion pengguna sedia ada.
Connor Hayes, Naib Presiden Produk untuk AI Generatif di Meta, menjelaskan bahawa:
AI ini kelak akan wujud seperti akaun pengguna biasa, lengkap dengan gambar profil, biodata, dan keupayaan untuk mencipta serta berkongsi kandungan.
Meta telah memperkenalkan alat AI untuk mencipta watak maya, yang dilancarkan di AS pada Julai lalu. Sejak itu, ratusan ribu watak telah dicipta, walaupun kebanyakannya masih bersifat peribadi.
Selain itu, pengguna menggunakan teknologi ini untuk mengedit foto dan memperbaiki kandungan dunia nyata mereka.
Pada 2025, Meta bercadang melancarkan teknologi teks-ke-video, membolehkan pencipta kandungan memasukkan diri mereka ke dalam video yang dijana AI.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, telah menunjukkan keupayaan untuk menggunakan avatar AI dalam panggilan video langsung yang mampu meniru gaya percakapan pencipta.
Meta bukan satu-satunya pemain dalam perlumbaan AI. Snapchat telah melancarkan alat AI untuk mencipta watak 3D dalam pengalaman realiti tambahan, manakala TikTok sedang menguji alat AI untuk membantu jenama menghasilkan video dan menterjemah kandungan ke pelbagai bahasa.
Namun, penggunaan AI ini tidak bebas daripada risiko. Pakar memberi amaran bahawa watak AI berpotensi disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu.
Meta telah menetapkan peraturan agar kandungan AI dilabel dengan jelas, tetapi kebimbangan terhadap kualiti dan kesahihan kandungan tetap wujud.
Dengan usaha Meta menjadikan interaksi lebih sosial dan menyeronokkan, watak AI berpotensi menjadi elemen hiburan baharu.
Walau bagaimanapun, ramai pakar menegaskan bahawa AI tidak dapat menggantikan pengalaman, emosi, dan daya tarikan manusia sebenar dalam membina hubungan yang bermakna di platform media sosial.
Apa pula pandangan anda dengan rancangan baharu Meta ini? Adakah anda dapat membayangkan yang media sosial dipenuhi akaun bot AI.
Sumber: Financial Times