Nama Sony dalam arena telefon pintar sudah tidak segah dekad lalu. Kalau ditanya pada anak-anak lepasan sekolah, mungkin mereka juga tidak pernah mempunyai pengalaman menyentuh mana-mana telefon Sony beroperasikan Android, apatah lagi Walkman dan Cyber-Shot.
10 tahun dulu, sewaktu Android masih baharu, nama Sony merupakan antara yang selalu disebut di kedai-kedai telefon mahupun perbincangan dalam kalangan peminat gajet.
Secara peribadi, jika seseorang yang menganggap diri mereka penggemar teknologi terutamanya telefon pintar, ‘maqam’ mereka belum cukup tinggi kalau tidak pernah menggunakan Xperia seumur hidup.
Ia merupakan pengalaman penting yang bukan saja membina watak seorang pengikut teknologi namun juga adalah saksi kematangan sistem operasi Android dari segi visual dan pengoperasiannya.
Xperia, itulah nama diberi pada kesemua telefon pintar Android-nya dan perkara ini kekal hingga sekarang dengan Sony Xperia PRO-I.
{suggest}
Kali ini, kami ingin kongsikan tentang sebuah siri daripada keseluruhan barisan Xperia iaitu siri NXT. Waktu ini, Sony telah menggunakan jenama dan logo Sony tetapi logo Sony Ericsson masih tertera pada badan telefon.
Untuk siri ini, ia terdiri daripada 3 model iaitu Sony Xperia S, Sony Xperia P, Sony Xperia U yang kesemuanya dilancarkan pada tahun 2012.
Sony Xperia S
Turut dikenali sebagai Xperia NX di Jepun, ini merupakan model dengan spesifikasi tertinggi dalam siri ini.
Skrinnya paling besar antara ketiga-tiga, mempunyai port HDMI dan panel belakangnya boleh ditanggalkan. Sewaktu dilancarkan pada 2012, ia dijual pada harga RM1,899 di Malaysia.
Anda dapat lihat posisi kamera utamanya agak pelik di mana terletak hujung atas. Namun, jika anda pernah menggunakan telefon dengan kedudukan kamera begini, ia sebenarnya memberikan kelebihan ketika merakam video kerana kurang terkesan apabila telefon dipusing ke kiri dan kanan.
- LCD dicahayakan LED 4.3 inci, 720p, 342 PPI
- Snapdragon S3
- 12MP Exmor-R
- Swafoto 1.3MP
- 1750 mAh
- RAM 1GB
- Storan 32GB
- Android 2.3 (Gingerbread), hingga 4.12 (Jelly Bean)
Sony Xperia P
Ini pula model pertengahan. Di bahagian kanan dapat dikesan pembesar suara dengan butang kamera 2 tahap – fokus dan tangkap. Ia dijual pada harga RM1499 ketika pelancaran.
Untuk navigasinya, pengguna perlu menekan pada jalur jernih yang menempatkan tiga ‘butang’, kembali, rumah dan menu.
Ia satu ciri yang agak mengejutkan bahkan jika disertakan hari ini juga pastinya membuat mata pengguna terbeliak.
Antara ciri unik pada Xperia P ialah menggunakan Sony MagicWhite di mana kehadiran sebuah lagi piksel berwarna putih di samping piksel merah, hijau dan biru (RGB). Ini menjadikan skrinnya lebih terang berbanding telefon lain.
Dari segi rekaan, ia menggunakan badan aluminium unibody, bermaksud belakangnya tidak boleh ditanggalkan kerana keseluruhan badannya dipasang sebagai satu unit.
- LCD 4.0 inci, 720p, 275PPI
- NovaThor U8500
- 12MP Exmor-R
- Swafoto VGA (0.3MP)
- 1305mAh
- RAM 1GB
- Storan 16GB
- Android 2.3 (Gingerbread), hingga 4.0 (Ice Cream Sandwich)
Sony Xperia U
Telefon ini merupakan model termurah dalam adik-beradik NXT, ia dijual serendah RM899.
Antara keunikannya ialah pengguna boleh menukar penutup bawahnya yang berwarna-warni.
Untuk rakaman video, ia hanya mampu merakam sehingga 720P sahaja, tidak seperti Xperia S dan P sehingga 1080P.
Xperia U bagaimanapun tidak mempunyai fungsi NFC.
Ketiga-tiga model ini disertakan dengan butang kamera di bahagian kanannya. Ia merupakan butang 2 tahap di mana tekan separa untuk fokus dan lebih dalam untuk menangkap gambar.
Ini merupakan satu ciri yang sudah pupus pada peranti terkini.
- LCD 3.5 inci, 720p, 280PPI
- NovaThor U8500
- 5MP Exmor-R
- Swafoto VGA (0.3MP)
- 1320mAh
- RAM 512MB
- Storan 8GB
- Android 2.3 (Gingerbread), hingga 4.0 (Ice Cream Sandwich)
Kesemua model menggunakan cip NovaThor, suatu nama yang asing kini. Cip ini dibangunkan oleh Ericsson dan STMicroelectronics , jadi tidak hairanlah ia tidak lagi didengari sekarang kerana kerjasama dua syarikat ini telah berakhir pada 2013.
Waktu ini, Sony sudah mula terkenal dengan rekaan petaknya bahkan sehingga kini terus menggunakan rekaan bucu sebegitu. Untuk pengecasan pula, Type-C masih belum digunakan jadi kesemua peranti menggunakan MicroUSB.
Selain tu, semua jalur jernih pada siri NXT ini juga dicahayakan lampu yang menyala ketika menerima notifikasi.
Kalau anda lihat, butang pelaras suaranya mempunyai lekuk di mana penggua boleh berasa jika ia untuk menaik atau menurunkan kelantangan. Tahun 2022 ini, siapa lagi yang masih menggunakan rekaan butang begitu?
RAM pula hanya sebesar 1GB dengan storan maksimum 32GB. Semestinya ia dianggap mencukupi pada era itu, dengan harga sekitar RM1,000.
Namun, apabila dibandingkan harga peranti-peranti ini dengan telefon di pasaran sekarang, jauh bezanya. Dengan harga yang sama, pengguna kini boleh mendapat telefon kelas pertengahan berkualiti dengan spesifikasi sekurang-kurang 4GB RAM dan storan 64GB dengan 2 lensa di belakang.
Antara punca Sony mula dipinggirkan pengguna terutamanya di Malaysia adalah harganya yang kekal sama semenjak awal penglibatannya.
Sewaktu jenama-jenama dari China mula menapak di Malaysia, ia nyata memberi saingan sengit pada jenama besar terutamanya daripada Xiaomi.
Taktik ini jelas sekali berjaya, disertakan pemasaran dan pengiklanan mereka yang sungguh menyeluruh, sama ada di tangga elektrik pasar raya, di YouTube mahupun berita di rangkaian TV tempatan.
Kini, pengguna lebih biasa menggunakan telefon jenama China yang dulu masih bertatih ketika Sony, HTC bermaharajalela.