Orang kata kalau nak komputer laju, beli atau gunalah dari storan berasaskan Solid State Drive (SSD) berbanding Hard Disk Drive (HDD.) Perkara ini sudah menjadi satu kelaziman untuk pengguna kerana kepantasan SSD yang lebih tinggi berbanding HDD.
Namun tahukah anda apa penjelasan di sebalik kepantasan SSD ini berbanding HDD?
Laju memang laju. Tetapi sebab apa?
Artikel ini akan menerangkan perbezaan HDD, SSHD, dan SSD, jenis-jenis SSD, serta kekurangan dan kelebihan antara mereka.
Mekanism Berfungsi Yang Berbeza
Faktor pertama adalah SSD tidak menggunakan komponen bergerak seperti HDD. SSD hanya menggunakan cip dan litar elektrik semata-mata untuk berfungsi.
Berlainan dengan HDD, HDD menggunakan ‘lengan’ mekanikal untuk membaca atau menulis dan memindahkan data dalam cakera. Perbezaan mekanism inilah yang menjadikan faktor urama mengapa SSD adalah lebih pantas.
Pada cakera HDD, ia dibahagikan kepada beberapa sektor data. Apabila lengan ini bergerak, ia sebenarnya sedang menulis 0 dan 1 dalam kawasan kecil sektor-sektor tersebut.
Jika diberikan perumpamaan, ia HDD diibaratkan seperti anda terpaksa berjalan merentasi bilik mendapatkan buku untuk mendapatkan maklumat sementara SSD pula secara magiknya buku tersebut boleh muncul di depan mata tanpa perlu berjalan pun.
Antaramuka Antara Jenis Storan
Salah satu faktor lain yang turut membantu kepada kelajuan adalah antaramuka storan yang disambungkan kepada komputer utama. SATA merupakan teknologi lama yang digunapakai HDD manakala PCIe adalah lebih baharu dan laju. NVMe pula adalah protokol untuk bersambung kepada antaramuka PCIe.
Untuk SATA, versi paling terkini adalah SATA III dengan kemampuan kelajuan bandwith data 600MB/s. Namun, walaupun versi terkini, ia adalah teknologi lama kerana diperkenalkan pada tahun 2012 dan teknologi ini telah digantikan dengan PCIe sebagai antaramuka baharu disebabkan PCIe lebih pantas.
PCIe pula merupakan antaramuka yang digunakan untuk kad grafik selain dari storan SSD. PCIe paling terkini adalah PCIe 5 dengan kelajuan bandwith data 128GBps. Tetapi versi ini belum lagi dikomersilkan, hanya PCIe 4.0 yang sudah mula bertapak di pasaran. Kelajuan pada PCIe 4.0 boleh mencapai 64GB/s jauh lebih pantas berbanding HDD.
Perbezaan Jenis Variasi SSD
Terdapat berbagai jenis SSD yang meliputi varian reka bentuk, saiz, antaramuka, dan kepantasan.
1. SSD dari segi antaramuka
- SSD berasaskan NVMe PCIe
SSD ini adalah merupakan jenis yang terpantas disebabkan ia disambungkan menggunakan antaramuka PCIe sementara NVMe pula adalah protokol khas untuk mengambil manfaat kelajuan SSD supaya boleh beroperasi sepantas mungkin melalui PCIe.
Sebelum NVMe, protokol AHCI digunakan namun ia adalah perlahan dan lebih sesuai untuk HDD berbanding SSD yang lebih pantas.
Kelajuan SSD jenis ini adalah bergantung kepada sokongan PCIe di mana SSD dengan PCIe 4.0 boleh mencapai kelajuan baca 7,000 MB/s dan 5,300 MB/s. Manakala PCIe 3.0 pula pada kelajuan baca 3,500 MB/s dan tulis 3,000 MB/s bergantung kepada jenama.
Untuk mencari dan membeli SSD jenis ini, anda hanya perlu melihat label NVMe PCIE dan kebiasaannya dijual pada harga yang mahal berbanding SSD jenis lain.
- SSD berasaskan SATA
Bagaimana pula SSD yang menggunakan sambungan jenis SATA? SSD jenis ini mempunyai kelajuan lebih perlahan kerana SATA tidak selaju PCIe. Pun begitu, ia disertakan dengan prestasi lebih pantas berbanding HDD walau pada antaramuka SATA yang sama.
Untuk SSD jenis ini, ia dibantutkan dengan kelajuan antaramuka SATA iaitu tidak melebihi 600 MB/s.
Terdapat dua jenis SSD berasaskan SATA, iaitu datang dalam bentuk M.2 dan juga petak.
2. SSD dari segi rupa bentuk
- M.2
M.2 merupakan nama bentuk SSD jenis memanjang dengan lurah pada hujung penyambung. Reka bentuk ini wujud pada kedua-dua antaramuka PCIe dan SATA dan dibezakan melalui penampilan mereka yang berbeza. Untuk SSD M.2 jenis SATA, ia mempunyai 2 lurah atau dipanggil “M key” manakala jenis PCIe mempunyai satu lurah sahaja yang dikenali sebagai “M+B key”.
Mana satu yang lebih laju? Sudah tentu PCIe punya.
SSD M.2 juga boleh hadir dalam pelbagai saiz memanjang seperti 40mm, 60mm, atau 80mm. Saiz pendek lebih banyak digunakan dalam komputer riba manakala yang panjang lebih banyak dijumpai untuk PC. Apa beza M.2 yang panjang dengan yang pendek?
Jawapannya adalah kapasitinya. Lebih panjang, lebih banyak kapasiti storan.
- 2.5 inci dan 3.5 inci
SSD berbentuk petak hadir dalam 2 saiz berbeza iaitu 2.5 inci dan 3.5 inci. Kedua-dua SSD ini menggunakan sambungan dari jenis SATA jadi ia tidak sepantas PCIe.
SSD 2.5 inci digunakan dalam kebanyakan komputer riba manakala 3.5 inci lebih mudah dijumpai untuk desktop PC. Saiz ini turut diguna pakai untuk reka bentuk HDD.
- mSATA
mSATA merupakan satu lagi jenis SSD dengan reka bentuk jauh berbeza berbanding jenis yang lain. Ia hadir dengan sambungan lurah juga namun lebih panjang.
SSD jenis ini menggunakan teknologi dari SATA dan merupakan jenis yang jarang sedikit untuk dijumpai di pasaran.Ini adalah kerana industri telah beralih sepenuhnya kepada reka bentuk M.2 “B+M key” jika mahukan SSD kecil untuk sambungan SATA.
Cara Teknologi Melajukan HDD
Sebelum SSD digunakan secara arus perdana, HDD digunakan secara meluas dalam pelbagai industri disebabkan SSD masih lagi mahal pada ketika itu.
Sehubungan dengan itu, pelbagai teknologi telah dimanfaatkan untuk melajukan lagi kadar bacaan dan menulis HDD agar lebih hebat.
Salah satunya adalah meninggikan lagi kadar putaran dan pusingan cakera. Apabila cakera diputar lebih pantas, bahagian lengan mekanikal boleh ‘mengambil’ data dengan lebih cepat tanpa perlu menunggu lama.
Kelajuan cakera dikira menggunakan unit rpm dan untuk HDD pada masa ini paling pantas adalah selaju 7,200rpm yang banyak dijumpai pada komputer riba dan juga desktop PC.
Jika difikirkan secara logik, lebih pantas rpm, lebih laju HDD adalah mungkin juga ya. Namun terdapat beberapa faktor lain seperti haba dan kuasa jika mahu meninggikan rpm lebih tinggi.
Untuk kategori professional dan industri, ada juga HDD dengan kelajuan putaran 15,000rpm yang sangat pantas digunakan.
Akan tetapi, HDD jenis ini kebiasaannya sangat besar kerana memuatkan heatsink atau sistem penyejukan kerana ‘panas’ serta bising disebabkan bunyi putaran yang laju.
Ini adalah mengapa untuk pengguna biasa hanya kelajuan sekitar 5,400rpm dan 7,200rpm sahaja yang banyak ditemui di pasaran.
SSHD Penyelamat HDD?
Perbezaan dua dunia kontradiksi antara SSD dan HDD membuatkan satu jenis storan muncul sebagai perantara mereka – SSHD.
Akan tetapi, SSHD bukanlah penyelamat atau penerus legasi HDD. SSHD menggabungkan kedua-dua mekanism lengan mekanikal HDD dan cip memori SDD dalam satu pakej.
Boleh diibaratkan seperti SSD dan HDD yang ditempek atas satu sama lain. Kewujudan SSHD bukanlah untuk merapatkan jurang kelajuan HDD dengan SSD disebabkan kedua-dua mekanism tersebut tidak diubahsuai secara menyeluruh.
Sebagai contoh, sebuah SSHD berkapasiti 1TB, ia masih lagi mempunyai cakera berkapasiti 1TB namun dengan bantuan SSD yang bersaiz kecil, kebiasaannya 8GB, 16GB, atau 32GB. Yang penting ia sangat kecil berbanding bahagian HDDnya.
Jadi, data yang disimpan majoritinya hanya berada dalam HDD tersebut. Apa guna nya bahagian SSD itu?
Untuk bahagian SSD tersebut, ia akan digunakan untuk mengakses data yang sering digunakan dalam sistem operasi. Kebiasaannya digunapakai untuk meletakkan Windows 10 supaya komputer dapat dibuka lebih laju.
Jadi, SSHD secara mudahnya masih lagi menggunakan teknologi lengan mekanikal yang sama disebabkan itu ia tidak mempunyai kelajuan yang jauh lebih pantas berbanding HDD.
Jika SSHD Lebih Kurang Sama Dengan HDD, Mengapa Beli SSHD?
Untuk seorang pembina PC tegar, memilih antara storan dan wang merupakan isu yang selalu difikirkan.
Ada bajet RM500, mahu beli 512GB SSD atau 4TB HDD pada harga sama.
Atau, beli sebuah SSHD berkapasiti 1TB. Juga pada harga sama dan yang paling utama anda dapat kedua-dua kategori, kapasiti dan kepantasan pada harga yang rendah.
Salah satu faktor lain mengapa SSHD menjadi pilihan adalah disebabkan binaan satu pakejnya. Sesetengah pengguna mungkin hanya mahukan satu drive untuk storan sahaja, jadi untuk pengguna yang mahukan kedua-dua kapasiti dan kepantasan tanpa dalam satu pakej, SSHDlah jenis storan yang paling sesuai.
Mampukah HDD melawan kelajuan SSD?
Perbezaan utama teknologi SSD dan HDD terletak pada mekanism dan bagaimana mereka berfungsi. Jika ada teknologi sebagai perantara antara mereka iaitu SSHD, itupun masih belum dapat mengasingkan cara mereka bekerja secara fitrahnya.
Demikian perbezaan inilah yang menjadikan HDD mustahil untuk melawan kepantasan SSD.
Tiada elemen pergerakan mekanikal dalam SSD membuatkan HDD tidak boleh bersaing untuk lebih pantas. Walaupun kelajuan rpm boleh mencapai sehingga 15,000 pusingan dengan prestasi tulis 3.15GB/s dan baca 1.83GB/s boleh dikira agak laju, ia hadir dengan masalah lain seperti isu haba yang memerlukan penyejukan sesuai dan juga bunyi bising putaran.
Perkara ini jauh berbeza dengan SSD yang beroperasi dengan lebih senyap dan ‘sejuk’.
Sehubungan dengan itu, boleh disimpulkan wujud sahaja HDD yang lebih pantas dari SSD, namun ia agak rumit kerana:
- HDD dengan 15,000rpm yang paling laju bukan untuk pengguna biasa
- isu haba
- bising
Disebabkan itulah SSD terus menggantikan HDD dari segi kepantasan, namun untuk kapasiti dan harga lebih ekonomikal, HDD lebih menjadi pilihan.
Rujukan: