MediaTek Dimensity 720 Rasmi - Sebuah Lagi Cip 5G Untuk Kelas Pertengahan

Dalam portfolio MediaTek, Dimensity merupakan barisan cip yang menawarkan rangkaian 5G. Setakat ini sudah ada beberapa cip di bawah siri ini iaitu siri Dimensity 800, Dimensity 1000 dan Dimensity 1000+. Terkini, MediaTek telah memperkenalkan sebuah lagi cip Dimensity iaitu Dimensity 720.

Mendengar penamaannya, jelas ia merupakan cip yang paling rendah dalam keluarga Dimensity dan yang pertama untuk siri Dimensity 700.

Untuk spesifikasi, ia menggunakan 8 teras CPU dengan 2 kluster. Terdapat 2 teras utama Cortex-A76 pada 2GHz dan 6 teras jimat tenaga Cortex-A55 pada 2GHz.

Kapsyen: Spesifikasi MediaTek Dimensity 720


Grafik pula adalah merupakan ARM Mali-G57 MC3 dengan sokongan memori sehingga 12GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman UFS 2.2.

Untuk paparan, ia menyokong sehingga Full HD+ dan juga kadar segar semula 90Hz. Kamera pula adalah sehingga 64MP serta rakaman video pada 4K 30fps.

Dengan sokongan 5G, kedua-dua rangkaian 5G SA dan 5G NSA telah dimuatkan dalam cip ini.

Jika melihat kepada spesifikasi keseluruhan, prestasi CPU dan GPU adalah setaraf dengan Dimensity 800. Cuma Dimensity 800 mempunyai sokongan memori lebih banyak, kadar segar semula lebih tinggi, storan dalaman lebih pantas, dan lain-lain lagi.

Buat masa ini, MediaTek tidak menyatakan bilakah cip ini akan dimuatkan ke dalam peranti pintar. Namun sudah tentu kita akan mendengarnya dari pengeluar dari China memandangkan mereka sangat aktif dalam menghasilkan peranti pintar.

Sumber: MediaTek

 

Berkaitan