MEASAT Bakal Lancarkan Satelit Baru, Akan Tingkatkan Kelajuan Internet Sehingga 100Mbps Di Kawasan Luar Bandar

Pengendali satelit utama di Malaysia, MEASAT Global Berhad (“MEASAT”) memaklumkan bahawa mereka bakal melancarkan satelit baru ke orbit Bumi pada 22 Jun 2022 nanti.

Tujuan utama pelancaran satelit baharu itu yang dikenali sebagai MEASAT-3d adalah bagi menghubungkan lebih daripada 2 juta penduduk luar bandar dengan rangkaian capaian internet menerusi perkhidmatan satelit jalur lebar MEASAT CONNECTme NOW.

MEASAT CONNECTme NOW akan menguhubungkan sejumlah 10,000 tapak dalam tempoh 3 tahun akan datang yang akan memanfaatkan pengguna yang berada di kawasan luar bandar.

MEASAT memaklumkan sehingga kini, mereka sudah menyediakan servis CONNECTme NOW di lebih 3,000 tapak di seluruh negara.



Sebahagian besarnya adalah di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

MEASAT-3d bukan sahaja akan meningkatkan kelajuan internet daripada 30Mbps kepada 100Mbps, tetapi juga akan memulihkan semula gangguan serta meluaskan lagi kapasiti perkhidmatan Astro Direct-to-Home (“DTH”) serta servis penyiaran dan telekomunikasi lain di rantau ini.

Satelit MEASAT-3d yang dibangunkan oleh Airbus itu dianggarkan berharga sekitar RM1.2 bilion. Jangka hayat perkhidmatannya pula ditetapkan selama 18 tahun.

Ia dijadualkan akan dilancarkan dengan menggunakan roket Ariane 5 dari tapak pelancaran European Spaceport di Kourou, French Guiana.

Sumber: MEASAT