Maxis, AIS dan Singtel baru-baru ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membolehkan pengesahan berasaskan rangkaian bagi pelanggan mudah alih melalui rangkaian penyelesaian yang mengesahkan identiti digital yang didaftarkan pada perkhidmatan atau platform pengguna berdasarkan data telekomunikasi.
Penyelesaian ini adalah berasaskan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) telekomunikasi yang saling boleh kendali serta rangka kerja standard piawaian industri dan protokol GSMA.
Langkah ini menandakan persekutuan antarabangsa API Telekomunikasi yang pertama di dunia, melibatkan penyedia telekomunikasi dari tiga negara yang bekerjasama bagi membantu perusahaan-perusahaan mengakses data rangkaian telekomunikasi masa nyata untuk memperkuat pengesahan dan memerangi penipuan.
Maxis berkata penyelesaian ini akan membantu mengurangkan insiden pengambilalihan akaun dan transaksi tidak dibenarkan yang berpunca daripada penipuan pancingan data dan aplikasi perisian hasad.
Ia juga membolehkan proses pengesahan berbilang factor (MFA) yang lebih lancar kerana identiti digital pengguna disahkan serta-merta dan secara langsung antara syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan.
Dua API yang akan diintegrasikan oleh AIS dan Maxis termasuk Number Verify, aplikasi yang mengesahkan identiti pelanggan dengan memadankan nombor telefon dengan butiran akaun berdaftar pada platform penyedia perkhidmatan dan Lokasi Peranti.
Kerjasama ini akan menyokong lebih 12 juta pelanggan di Malaysia dan 45 juta pelanggan di Thailand. Ketiga-tiga penyedia telekomunikasi ini juga merancang untuk meneroka peluang bagi mengintegrasikan lebih banyak API pada masa akan datang.
{suggest}
Sumber: Maxis Newsroom