Masihkah anda ingat tentang ‘Virtual RAM’? Atau adakah anda tidak mengetahui kewujudan ciri ini?
Cuba anda cari ciri ini dalam aplikasi ‘Settings’ anda. Mungkin namanya bukanlah ‘Virtual RAM’ kerana terdapat pelbagai nama lain, bergantung kepada jenama telefon anda. Antara nama-nama lain ialah ‘Extended RAM’ atau ‘RAM Expansion’ bagi vivo, iQOO, OPPO, dan realme, ‘Memory Extension’ untuk Xiaomi dan POCO, dan ‘RAM Plus’ dalam Samsung.
Dan jika anda menjumpai ciri ini, pastinya ia telah dihidupkan secara automatik, kan? Pasti anda tertanya, “Apakah ‘Virtual RAM’?”, “Bolehkah ia membantu meningkatkan prestasi telefon?”, dan “Perlukah saya mematikannya?”.
Apakah Itu ‘Virtual RAM’?
RAM atau Random Access Memory ialah storan sementara yang menyimpan aplikasi, data dan proses sistem yang sedang aktif. Ia akan dikosongkan apabila telefon dimatikan sepenuhnya.
‘Virtual RAM’ pula bukan RAM sebenar. Ia hanyalah teknik menggunakan sebahagian daripada storan dalaman sebagai ‘RAM tambahan’. ‘Virtual RAM’ juga tidak selaju RAM sebenar kerana ia bergantung kepada versi UFS storan.
Konsep ‘Virtual RAM’ bukanlah baharu kerana ia telah wujud sejak zaman 60-an dengan kewujudan ‘one-level store’ dalam sebuah superkomputer bernama Atlas. Pada masa itu, hanya enam unit sahaja terjual kerana betapa mahal dan sukar untuk membuat sebuah superkomputer.

Kini, ciri yang terdapat pada superkomputer itu wujud secara meluas, dengan adanya ciri ‘virtual memory’ dalam komputer-komputer moden, dan ‘Virtual RAM’ dalam semua telefon Android kini. Teknologi yang eksklusif untuk superkomputer kini menjadi ciri biasa dalam sebuah telefon bajet.


‘Virtual RAM’ berfungsi sebagai RAM tambahan dan dipasarkan sebagai ciri yang boleh meningkatkan prestasi serta multitasking. Tetapi adakah ia benar-benar berkesan?
Adakah ‘Virtual RAM’ berguna?
Jawapan pendek, “Ya.” Jawapan sebenar, “Ya, tetapi bukan seperti apa yang anda sangkakan.”
Seperti yang telah dijelaskan oleh saudara Meor dalam video kami yang diterbitkan pada tahun 2021, ciri ‘Virtual RAM’ ini hanyalah untuk membantu telefon anda membuka lebih banyak aplikasi tanpa perlu menunggu aplikasi itu loading setiap kali anda multitasking dan bertukar-tukar aplikasi.
Pada masa itu, RAM tambahan ini masih lagi baharu dalam telefon pintar dan kenyataan tersebut masih lagi relevan sekarang.
Namun, kesannya bergantung kepada jenama, model dan jumlah RAM fizikal telefon tersebut.
Seorang pengguna di Reddit telah melakukan sebuah eksperimen pada telefon Xiaomi Redmi Note 13 4G (varian berstoran 256GB dengan 8GB RAM) selama 30 hari (15 hari dengan ‘Virtual RAM’ dimatikan, dan 15 hari dengan ‘Virtual RAM’ dihidupkan).
Hasilnya mendapati bahawa dengan ‘Virtual RAM’ dihidupkan, hayat bateri berkurang, suhu telefon menjadi lebih sejuk, multitasking bertambah sedikit baik, dan pengalaman UI menjadi lebih konsisten (kurang lagging).
Akan tetapi, ada yang telah menguji ciri ini pada telefon lain dan berpendapat bahawa ia tidak membantu langsung. Seorang YouTuber, TechiBee, telah mencuba prestasi telefon OnePlus 12 dalam dua keadaan (‘Virtual RAM’ ON VS. ‘Virtual RAM’ OFF).
Dapatannya adalah aplikasi masih akan loading ketika ia dibuka semula, walaupun ‘Virtual RAM’ telah dihidupkan. Masa untuk menunggu permainan video habis loading juga tidak jauh beza.

Disebabkan ada sedikit keraguan, saya juga telah membuat sedikit uji kaji menggunakan iQOO 15. Dengan menggunakan aplikasi Geekbench dan AnTuTu Benchmark, saya mendapati bahawa dalam AnTuTu Benchmark, saya mendapat skor yang lebih tinggi apabila ‘Virtual RAM’ dimatikan.
Sama juga dalam kes Geekbench kerana skor adalah lebih tinggi apabila ciri ini dimatikan.
Walaupun ini bukan uji kaji penggunaan sebenar (real world scenario), satu perkara adalah jelas di sini: ciri ini tidak meningkatkan prestasi telefon, dan ia tidak akan menjadikan anda seorang gamer yang lebih pro.
Maka, keberkesanan ‘Virtual RAM’ tidaklah konsisten pada kebanyakan telefon Android, dan ia tidak seperti yang dijanjikan syarikat-syarikat pembuat telefon. Malah, Android masih lagi akan mengutamakan RAM sebenar, berbanding ‘Virtual RAM’.
Di Reddit, pengguna-pengguna terbahagi kepada dua jenis: pihak yang mengesyorkan penggunaan ‘Virtual RAM’, dan pihak yang tidak menyetujui kewujudannya.
Majoriti pengguna menasihati untuk mematikan ciri ini kerana ia hanya memakan sebahagian daripada storan telefon dan tidak menyumbang kepada peningkatan prestasi telefon.

Ciri ini hanya sesuai untuk telefon-telefon bajet yang mempunyai kurang daripada 8GB RAM jika anda masih mahu multitasking.
Tetapi, apa yang pelik adalah ciri ini juga wujud pada telefon-telefon midrange dan flagship yang ternyata mempunyai lebih daripada 8GB RAM. Mengapa?
Mengapa ‘Virtual RAM’ masih lagi wujud?
Satu perkara yang pasti, anda tidak boleh menaik taraf atau tambah jumlah RAM dalam sebuah telefon berbanding sebuah laptop.
Jadi, apa yang syarikat-syarikat pembuat telefon wujudkan untuk menyelesaikan masalah ini? Dengan ‘Virtual RAM’. Ia memberi satu ilusi bahawa anda boleh menaik taraf telefon anda.
Masalahnya, sesetengah jenama menggunakan taktik pemasaran yang mengelirukan, terutamanya pada telefon bajet.
Contohnya menulis “8GB RAM” atau “24GB RAM” tanpa menjelaskan dengan jelas bahawa sebahagiannya adalah Virtual RAM. Ciri ini juga dihidupkan secara automatik semasa setup kali pertama supaya pembeli rasa “RAM banyak”.
Saya berpendapat bahawa ini adalah taktik syarikat-syarikat ini untuk membuatkan anda fikir bahawa anda mempunyai RAM lebih daripada yang dipasarkan.
Ada penyenaraian atau ‘listing’ Shopee daripada jenama-jenama tertentu yang memasarkan telefon mereka sebagai “(12+12)GB RAM” (12GB RAM sebenar dan 12GB virtual RAM) dan “12*GB RAM/12GB RAM*” (tanda ‘*’ bermaksud bukan jumlah yang sebenar).
Ini pastinya akan mengelirukan khalayak ramai yang tidak mengetahui perkara sebenar terutama individual yang kurang mahir dalam teknologi.
Selalunya, taktik pemasaran seperti ini dilakukan untuk telefon-telefon yang bajet.

Tambahan pula, ciri ‘Virtual RAM’ akan dihidupkan secara automatik ketika anda menghidupkan telefon itu buat kali pertama agar pembeli tidak sangsi dengan jumlah RAM yang ditawarkan apabila mereka cuba memeriksa spesifikasi di aplikasi Settings.
Bagi telefon-telefon midrange dan flagship pula, kewujudan ciri ini juga sama seperti dalam telefon-telefon bajet, untuk “mengelirukan” pembeli.
Tetapi, satu perkara yang misteri adalah syarikat-syarikat ini tidak memasarkan ciri ini pada telefon-telefon yang lebih mahal ini, dan ciri ini dihidupkan secara automatik. Mengapa? Itu adalah satu konspirasi yang patut kita fikirkan…
Kesimpulan
‘Virtual RAM’ masih sama seperti dulu: berguna untuk sesetengah kes, tetapi lebih bersifat gimik pemasaran berbanding peningkatan prestasi sebenar.
Ia boleh membantu telefon bajet yang kekurangan RAM fizikal, tetapi pada telefon yang sudah ada 8GB ke atas, manfaatnya sangat minimal.
{suggest}







