Sebelum ini dalam siri Mari Kenali Satelit telah pun dikongsikan info dan fakta-fakta menarik tentang Teleskop Angkasa Hubble.
Untuk kali ini pula, mari kita kenali sebuah lagi satelit iaitu Teleskop Angkasa Spitzer.
Teleskop Angkasa Spitzer dinamakan bersempena dengan nama seorang tokoh astrofizik terkenal iaitu Lyman Spitzer yang telah memperkenalkan konsep teleskop di ruang angkasa sejak 1940.
Spitzer dilancarkan pada 25 Ogos 2003 dan merupakan misi terakhir Program Balai Cerap Besar NASA (NASA’s Great Observatories) yang terdiri daripada empat jenis teleskop yang digunakan bagi mencerap alam semesta dengan menggunakan gelombang elektromagnetik berlainan iaitu:
1) Teleskop Angkasa Hubble – cahaya nampak
2) Comptom Gamma-Ray Observatory (CGRO) – sinar gamma
3) Balai Cerap X-ray Chandra – sinar-X
4) Teleskop Angkasa Spitzer – inframerah
Berbeza dengan Teleskop Angkasa Hubble, Spitzer menggunakan teknologi sinaran inframerah yang mampu merekodkan data yang tidak dapat dicerap oleh Hubble yang menggunakan cahaya nampak.
Ini kerana jarak gelombang inframerah adalah lebih panjang melebihi jarak gelombang cahaya nampak.
Maka ia mampu menembusi kawasan berdebu di angkasa serta dapat mengesan pusat galaksi dan sistem-sistem planet yang baru terbentuk.
Sistem inframerah teleskop ini juga membolehkan pencerapan objek yang sejuk di angkasa seperti ‘failed stars‘ (brown dwarfs), awan molekul yang besar dan molekul organik.
Antara hasil cerapan Spitzer adalah penemuan 2 buah lohong hitam yang bertembung antara satu dengan lain sehingga menghasilkan cahaya sehingga 1 trilion kali ganda lebih cerah dari cahaya bintang.
Spitzer juga telah berjaya memecah rekod dengan mengambil spektrum eksoplanet, iaitu sebuah planet yang mengorbit bintang di luar sistem suria untuk mengenal pasti molekul-molekul dalam atmosferanya.
Pada asalnya Spitzer dibangunkan untuk beroperasi di angkasa bagi tempoh 2 setengah tahun sahaja. Namun ianya bertahan sehingga 16 tahun dan diumumkan tamat operasi pada 30 Januari 2020.
Walaupun Spitzer telah pun ditamatkan perkhidmatannya, teleskop angkasa itu masih mengorbit matahari di laluan yang sama dengan bumi tetapi pada kelajuan yang sedikit perlahan.
Kedudukan Spitzer dianggarkan terletak sejauh 254 juta kilometer dari bumi atau bersamaan dengan 600 kali ganda lebih jauh jika dibandingkan kedudukan antara bulan dengan bumi.
Sumber: NASA, MySA, Spitzer Caltech