Mari Kenali Satelit - Sputnik 1, Satelit Pertama Buatan Manusia

Sebelum ini dalam bahagian pertama Mari Kenali Satelit, dilaporkan , terdapat sebanyak 2,787 buah satelit sedang mengorbit bumi ketika ini. Ia berdasarkan dari semakan di laman pangkalan data satelit Union of Concerned Scientists (UCS).

Tetapi menurut data dari United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) yang dikongsikan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), sehingga tahun 2019 dianggarkan terdapat sebanyak 8,378 objek buatan manusia telah dilancarkan ke angkasa.

Dari jumlah itu, sebanyak 4,994 objek pula adalah masih aktif.

Objek buatan manusia ini adalah termasuk satelit, spaceprobe (kapal angkasa tanpa manusia), stesen angkasa dan sebagainya.

Bagi kategori objek buatan manusia iaitu satelit, Sputnik 1 adalah satelit buatan manusia pertama yang dilancarkan ke angkasa lepas.

Sputnik 1 atau Satelit 1 adalah satelit komunikasi yang dilancarkan oleh Kesatuan Soviet pada 4 Oktober 1957.

Fungsi Sputnik 1 adalah untuk mengenal pasti ketumpatan lapisan atmosfera melalui pengukuran perubahan orbitnya dan membekalkan data tentang taburan isyarat radio di dalam lapisan ionosfera, iaitu lapisan atmosfera bumi yang terletak di antara 60 km hingga 100 km dari permukaan bumi.

Lapisan ini mengandungi elektron bebas yang memberi kesan kepada transmisi gelombang radio.

Sputnik 1 berbentuk sfera yang diperbuat daripada aluminium berdiameter 58.0cm dan seberat 83.5kg.

Satelit ini berada diantara 800km dari permukaan bumi dan mengelilingi bumi pada kelajuan 29,000km/jam.

Semasa hayatnya, Sputnik 1 telah berjaya mengorbit bumi sebanyak 1,440 kali pada kekerapan setiap 96 minit.

Walaubagaimanapun, hayat Sputnik 1 tidak lama iaitu hanya beroperasi selama 21 hari sahaja selepas bekalan tenaganya habis.

Namun begitu, ia terus mengorbit diangkasa selama 96 hari sebelum terbakar dan musnah apabila ia masuk semula ke atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.

Sumber: MYSA

Berkaitan