Menurut kedudukan terkini ranking daya saing dunia 2024 oleh Institut Antarabangsa Pembangunan Pengurusan (IMD) yang mengukur ekonomi dengan saiz penduduk dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada kedua-dua hujung skala, Singapura adalah negara dengan ekonomi paling berdaya saing daripada 67 negara merentasi 8 wilayah utama dunia.
Data IMD menunjukkan prestasi yang sangat kukuh untuk negara itu merentas bidang kecekapan kerajaan (sejauh mana dasar kerajaan kondusif untuk daya saing) dan kecekapan perniagaan (sejauh mana prestasi perusahaan dalam cara yang inovatif, menguntungkan dan bertanggungjawab).
“Ekonomi berprestasi terbaik mengimbangi produktiviti dan kemakmuran, bermakna mereka boleh menjana tahap pendapatan dan kualiti hidup yang tinggi untuk rakyat mereka sambil memelihara alam sekitar dan perpaduan sosial,” Arturo Bris, Pengarah Pusat Daya Saing Dunia IMD.
Walaubagaimanapun, berbeza pula dengan Malaysia yang jatuh ke tangga 34 selepas menduduki tangga ke-27 pada tahun 2023 lalu.
Kedudukan itu sekali gus meletakkan Malaysia berada di kedudukan yang lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).
Malah di peringkat rantau Asia Tenggara juga, Malaysia telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu.
IMD dalam laporannya tentang Malaysia berkata, cabaran yang perlu di hadapai Malaysia dalam tahun 2024 ini adalah seperti meningkatkan pelaburan dalam R&D untuk meningkatkan daya tahan perniagaan, kemas kini dasar dan peraturan untuk menambah baik daya saing global, memanfaatkan teknologi canggih untuk mempercepatkan pertumbuhan produktiviti dan mengurangkan peningkatan kos melalui peningkatan produktiviti strategik.
{suggest}