KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) – Malaysia di landasan yang tepat untuk merealisasikan visi bandar pintar mengikut Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020, menurut peneraju teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia).
Pengarah Urusan, Chong Kai Wooi berkata konsep bandar pintar merupakan penyepaduan ICT dan dasar pintar lain seperti penambahbaikan pengurusan sisa buangan dan penjagaan kesihatan, serta peningkatan pengeluaran tenaga daripada sumber boleh diperbaharu, yang bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
“Sebenarnya, kita telah menjalani kehidupan dalam bandar pintar apabila kita mula menggunakan aplikasi mudah alih untuk membayar caj tempat letak kenderaan.
“Membayar caj tempat letak kenderaan melalui telefon pintar merupakan sebahagian ekosistem bandar pintar kerana ia menjadikan kehidupan lebih mudah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu Pengurus Besar NEC Malaysia, Dennis Low berkata mengikut RMK-11, kerajaan mengenal pasti dan menyedari keperluan untuk membangunkan bandar pintar dengan menumpukan peningkatan pembangunan infrastruktur bagi menambah baik mobiliti dan kesalinghubungan.
“Pihak manapun menjadi kerajaan, selagi kita berpegang kepada RMK-11, kita tidak akan menggagalkan visi transformasi bandar pintar,” katanya.
Berdasarkan kepentingan infrastruktur, dengan pengangkutan awam merupakan komponen penting menghubungkan semua bandar pintar, Low, bagaimanapun menjelaskan masih ramai rakyat Malaysia yang enggan menggunakan pengangkutan awam khususnya disebabkan bimbang terhadap keselamatan.
“Banyak usaha telah dijalankan kerajaan dalam menerima pakai Objek Rangkaian Internet (IoT) dan teknologi kepintaran buatan (AI) bagi perkhidmatan myBAS untuk meningkatkan keyakinan orang ramai dan pengguna, dengan perkhidmatan itu yang ditawarkan di bandar utama," katanya.
myBAS, diperkenalkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) (sebelum ini dikenali Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) pada 2015, adalah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST).
SBST disusun untuk membantu mengekalkan perkhidmatan penting tersebut dalam memastikan kesambungan, serta menyediakan perjalanan berjadual bagi penumpang ke tempat kerja, sekolah dan kawasan komersial berpusat.
Mengikut Program SBST, APAD menyasar untuk melancarkan perkhidmatan myBAS di bandar utama iaitu Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu.
Menjelaskan bahawa NEC Malaysia merupakan antara penyedia ICT perkhidmatan myBAS, Low berkata teknologi IoT dan AI yang ditawarkan dalam myBAS bukan sahaja dapat menganggarkan tempoh perjalanan malah memastikan keselamatan awam.
"Kami bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, dan dengan bantuan teknologi biometrik, kami akan dapat menyediakan analisis masa sebenar di samping penstriman video menerusi kamera pengawasan kami untuk pihak berkuasa menghalang sebarang jenayah berpotensi," katanya.
Dalam pada itu, Chong berkata, NEC Malaysia, yang memiliki kedudukan kukuh di Malaysia selama lebih 30 tahun, dilengkapi dengan semua penyelesaian teknologi maklumat diperlukan untuk pembangunan bandar pintar.
"Buat masa ini, kami sedang berbincang dengan pembekal pengangkutan awam utama untuk menawarkan kepakaran kami kepada perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia, dan kami masih menunggu persetujuan sebelum melaksanakan usaha seterusnya,” katanya.
Mengulas mengenai kewujudan peserta industri lain seperti Alibaba Cloud, yang bekerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam inisiatif Malaysia City Brain, Chong berkata NEC Malaysia mengalu-alukan persaingan dan terbuka untuk bekerjasama dengan firma teknologi utama China itu.
“Kami mengalu-alukan input dari Alibaba kepada Malaysia, dan beberapa penyelesaian kami juga boleh beroperasi dalam teknologi awan mereka.
"Sudah tentu, dalam bidang ini kami perlu bersaing, kami masih akan bersaing secara adil," katanya.
Memetik kajian Smart Cities Index 2017 yang dijalankan EasyPark Group yang berpusat di Eropah, Chong berkata, Kuala Lumpur menduduki ranking ke-84 bandar paling pintar dalam kalangan lebih 500 bandar raya di seluruh dunia, manakala bandar maju serantau Asia lain – Singapura di kedudukan kedua dan Tokyo keenam.
“Berdasarkan tumpuan kerajaan sekarang terhadap kesalinghubungan Internet, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharu, asasnya telah diletakkan untuk kami berusaha giat mencapai bandar pintar," katanya.
NEC Malaysia, ditubuhkan pada Mac 1988, adalah penyedia penyelesaian menyeluruh bagi teknologi maklumat, rangkaian dan telekomunikasi NEC Corporation yang berpangkalan di Jepun, serta teknologi paparan di Malaysia.
-- BERNAMA
Berkaitan
- Google Assistant Boleh Bantu Selesaikan Masalah Telefon Pintar Anda
- Nokia 8 Bakal Dilancar Untuk Pasaran Malaysia Pada 8 September
- Telefon Pintar realme Kini Digunakan 35 Juta Orang Seluruh Dunia
- YouTube Menambah Senarai Telefon Pintar Dengan Sokongan Paparan HDR
- Aplikasi Google Contacts Kini Ditawarkan Pada Telefon Pintar Android Yang Lain
- Samsung Galaxy A54 Dan A34 Bakal Diperkenalkan Di Malaysia 24 Mac Ini
- realme C21Y Mula Dijual Di Malaysia, Harga RM549
- Malaysia Bakal Wujudkan Sistem Lelong Hartanah Dalam Talian
- Kajian - Dua Pertiga Golongan Dewasa Dunia Miliki Telefon Pintar Pada Tahun 2018
- Xiaomi Mi 9T Pro Kini Rasmi Di Malaysia, Harga Jualan RM1599 Dan RM1799