Mainan digital ikonik dari Jepun, Tamagotchi, yang pernah mencetuskan kegilaan di taman permainan pada era 1990-an, kini kembali mendapat tempat di hati Generasi Z serta ibu bapa yang bernostalgia.
Mainan berbentuk telur bersaiz poket ini memerlukan pengguna memberi makan, menjaga kesihatan dan memberi perhatian berterusan kepada haiwan peliharaan maya mereka. Menurut pengeluar, Bandai Namco, lebih 100 juta unit Tamagotchi telah terjual di seluruh dunia sejak diperkenalkan.

Bagi meraikan ulang tahun ke-30 Tamagotchi, Bandai Namco menganjurkan sebuah pameran khas di Tokyo yang dibuka pada hari Rabu.
Pameran ini memaparkan evolusi Tamagotchi daripada watak piksel hitam putih kepada peranti dengan skrin berwarna dan sambungan WiFi.
Kini digantung sebagai aksesori fesyen pada beg dan rantai kunci, Tamagotchi semakin popular dalam kalangan anak muda, khususnya di kawasan beli-belah seperti Harajuku.
Bandai Namco turut memaklumkan jualan barangan berkaitan Tamagotchi, tidak termasuk permainan video, meningkat hampir tujuh kali ganda dalam tempoh lima tahun sejak 2019.
Rafaela Miranda Freire, pelancong dari Brazil berusia 15 tahun yang melawat Harajuku bersama ibunya, berkata dia tidak memiliki Tamagotchi tetapi tertarik dengan konsepnya.

“Ia sangat nostalgia dan comel. Macam estetika comel awal 2000-an,” katanya kepada AFP, sambil mengakui ada rakan sebayanya yang menganggap Tamagotchi sebagai kebudak-budakan.
Namun menurutnya, mainan klasik seperti ini boleh menjadi alternatif sihat kepada media sosial. “Ia bagus. Kita boleh letak telefon dan hargai perkara kecil dalam hidup.”
Mainan ikonik sepanjang zaman

Tahun lalu, peruncit mainan Britain Hamleys menyenaraikan Tamagotchi dalam senarai 100 mainan terbaik sepanjang zaman, sebaris dengan LEGO dan Rubik’s Cube.
Haiwan peliharaan digital ini memerlukan perhatian apabila lapar, sakit atau apabila “lantai” maya mereka menjadi kotor. Watak Tamagotchi akan membesar berdasarkan tahap penjagaan pengguna, tetapi boleh mati jika diabaikan.
Di pameran ulang tahun tersebut, pengunjung memasuki ruang pameran melalui replika telur gergasi berwarna putih, sebelum meneroka pelbagai paparan mesra foto dan bilik sejarah yang membolehkan mereka mencuba pelbagai model Tamagotchi yang pernah dilancarkan.
Bandai Namco memaklumkan hampir separuh daripada keseluruhan jualan Tamagotchi datang dari Jepun, dengan 33 peratus di Amerika dan hanya dua peratus di rantau Asia Pasifik lain.
Yumeho Akita, 25 tahun, yang ditemui membeli-belah di Harajuku, berkata dia mempunyai kenangan indah membesarkan Tamagotchi ketika kecil. “Saya sangat mahukan satu dan apabila akhirnya dapat, saya menjaganya dengan penuh teliti,” katanya.
Bagi sesetengah ibu bapa, Tamagotchi juga menjadi cara untuk memperkenalkan pengalaman masa kecil mereka kepada anak-anak.
Justin Piasecki, penulis skrip dari Amerika Syarikat yang bercuti di Jepun, berkata beliau membeli Tamagotchi sebagai hadiah Krismas untuk dua anak perempuannya yang berusia empat dan enam tahun.
“Mereka sekarang macam ada ijazah sains komputer dalam Tamagotchi,” katanya sambil ketawa. “Saya sangka perlu ajar mereka, rupanya mereka pula yang ajar saya.” – AFP
{suggest}
