Lima Sebab Untuk Pengguna WhatsApp Beralih Ke Telegram

Semasa kami melaporkan mengenai berita pengiklanan pada fungsi WhatsApp Status tempoh hari, kami dapati ramai daripada pembaca mencadangkan untuk beralih ke Telegram. Lantas, ia membuatkan saya berasa perlu untuk menulis kiriman ini untuk anda.

Betul ke Telegram ini jauh lebih bagus berbanding WhatsApp? Untuk menjawab persoalan itu, kami senaraikan lima sebab utama mengapa pengguna WhatsApp perlu beralih ke Telegram sebagai medium perhubungan selepas ini.

1. Penghantaran Fail Yang Lebih Besar

Selain menghantar mesej, fail seperti gambar dan video juga sering dikongsikan secara atas talian hari ini. Melalui WhatsApp, anda hanya dibenarkan untuk berkongsi fail bersaiz maksimum 16MB sahaja.



Namun dengan melalui Telegram, anda boleh kongsikan fail yang bersaiz sehingga 1.5GB tanpa sebarang masalah. Bolehlah kongsikan movies atau drama bersama kawan-kawan.

2. Had Keahlian Kumpulan Yang Lebih Tinggi

Salah satu daripada fungsi paling berguna bagi kedua-dua aplikasi ialah kebolehan untuk membuat kumpulan(group). Akan tetapi, WhatsApp hanya mengehadkan ahli kumpulan sehingga 256 orang sahaja.



Ia akan menjadi masalah kepada kumpulan yang mempunyai ramai ahli seperti kumpulan komuniti dan sebagainya. Penyelesaiannya, gunakan Telegram dan buat kumpulan anda dengan had ahli yang ditetapkan adalah seramai 5,000 orang.

3. Notifikasi Kumpulan Hanya Ketika Anda Diseru

Jika sebuah kumpulan mempunyai 5,000 ahli kumpulan, pasti anda membayangkan bunyi notifikasi masuk yang menjengkelkan, bukan? Jangan risau, pembangun Telegram telah memikirkannya lebih awal.



Dengan Telegram, notifikasi dari kumpulan hanya akan masuk ke peranti anda sekiranya nama anda diseru(mention) sahaja. Jadi, untuk berhubung dengan seseorang secara spesifik di dalam kumpulan, pastikan anda menyerunya ketika menghantar pesanan.

4. Telegram Channel

Channel adalah satu lagi fungsi yang hampir sama seperti kumpulan. Bezanya, hanya orang tertentu(admin) sahaja yang boleh membuat kiriman. Channel seringkali digunakan sebagai laman perkongsian berita dan pelbagai kandungan lain.



Channel terbahagi kepada dua iaitu public dan private, dimana public channel membolehkan bukan ahli mencari dan menyertainya sendiri, manakala private pula hanya membenarkan ahli baru ikut masuk melalui admin atau pautan jemputan sahaja.

5. Telegram Mempunyai Ciri Keselamatan Yang Lebih Baik

Dari segi keselamatan, Telegram ternyata lebih baik berbanding WhatsApp. Ini kerana ia mempunyai tiga lapisan penyulitan, berbanding dua bagi kebanyakkan aplikasi permesejan yang lain.



Malah, Telegram pernah menawarkan $300,000(~RM 1.24juta) kepada mereka yang berjaya menembusi protokol penyulitan Telegram, namun tidak seorang pun yang berjaya. Ia sekaligus membuktikan tahap keselamatannya yang tinggi.

Dengan penyenaraian lima sebab utama untuk beralih ke Telegram seperti di atas, kami berharap ia dapat membantu anda dalam memilih platform perhubungan terbaik untuk digunakan.

Sekiranya anda memiliki sebab-sebab atau pandangan yang lain, anda dialu-alukan untuk kongsikannya di ruangan komen.

 

Sumber : Telegram    BotAnalytics   MakeUsOf

Berkaitan