LG Display Pertontonkan Skrin OLED 8K Dengan Sokongan Audio Dolby Atmos Terbina

Jika awal tahun lalu LG Display memperkenalkan skrin paparan yang boleh digulung, kini mereka tampil dengan paparan Crystal Sound OLED 8K bersaiz 88 inci.

Menarik tentang produk ini adalah sistem bunyi 3.2.2 sokongan Dolby Atmos yang terbina pada paparan. LG menyatakan ia dapat memberikan penonton pengalaman mendengar bunyi dinamik yang terhasil dari atas, bawah, kiri dan kanan paparan. Syarikat itu masih belum lagi mendedahkan perancangan untuk skrin paparan ini.

Disamping itu, pada acara CES 2019 yang bakal berlangsung hanya beberapa hari lagi, LG dijangka akan memperlihatkan 11 paparan terdiri daripada jenis OLED dan LCD menyasarkan kepada produk berupa TV hinggalah kepada peranti mudah alih.



Antaranya adalah paparan OLED 8k 65 inci, paparan LCD bersaiz 65 dan 75 inci, paparan Ultra HD Crystal Motion OLED dengan masa respon 3.5m/s, dan papan putih elektronik 86 inci dengan ciri sentuhan.

Bagi kenderaan pula, LG mengumumkan panel OLED 12.3 inci dengan 45% kadar ketelusan. Satu lagi produk adalah paparan Quad HD P-OLED Center Information Display (CID) 12.3 inci.

Untuk maklumat mengenai paparan lain, sama-sama kita nantikan pengumuman dan perkongsian maklumat oleh LG pada acara CES nanti.