LG Akan Perkenal Pelitup Muka Dengan Ciri Dwi Kipas Pembersihan Udara

Sejak bermulanya pandemik Covid-19, pemakaian pelitup muka sudah menjadi keutamaan. Sehingga kini pelbagai pelitup muka boleh kita lihat dipasaran, dari yang biasa digunakan di fasiliti perubatan sehinggalah kepada bercirikan elektronik.

Melihat kepada keperluan pelitup muka yang lebih meluas ketika ini, LG bakal mengumumkan LG PuriCare Wearable Air Purifier. Pengeluar ini terkenal dengan produk pembersih udara mereka melalui siri PuriCare.



Pelitup muka tersebut dilengkapi dengan sensor untuk mengesan kitaran pernafasan pemakai dan seterusnya mengawal tiga tahap kelajuan dua kipas yang tersedia dipasang. Kelajuan kedua-dua kipas itu akan dilaraskan secara automatik untuk membenarkan pernafasan pemakain lebih lancar.



Selain itu pelitup muka ini juga akan menggunakan penapis H13 HEPA, jenis sama yang digunakan LG pada produk pembersih udara rumah. Ia direka bentuk supaya dapat meminimumkan ruang antara muka dan pelitup seperti dibahagian hidung dan dagu.



Bagi menjana pelitup muka ini, LG memuatkan bateri berkapasiti 820mAh dan ia dijanjikan tempoh penggunaan sehingga 8 jam. Antara ciri lain yang melengkapi LG PuriCare Wearable Air Purifier adalah pancaran UV-LED yang didakwa mampu membunuh kuman, mengecas pelitup muka serta menghantar notifikasi kepada aplikasi LG ThinQ.

LG menyatakan pelitup muka elektronik akan diperkenalkan secara rasmi pada acara IFA 2020.

Sumber: LG