Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan SG TVET Group Berhad bagi memperkukuh latihan tenaga mahir dalam bidang automotif, khususnya teknologi kenderaan elektrik (EV).
Kerjasama strategik ini melibatkan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, yang disasarkan menjadi hab pembangunan industri automotif negara. Melalui inisiatif ini, kira-kira 1,000 belia berpeluang menjalani latihan EV dengan pendedahan kepada kelengkapan berteknologi tinggi serta pensijilan bertaraf antarabangsa.
Memetik laporan Awani, Ketua Pengarah JPPKK, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, berkata kerjasama ini penting untuk melahirkan graduan TVET berkemahiran tinggi serta bersedia memenuhi keperluan industri automotif semasa dan masa depan.
Pengarah Urusan SG TVET Group Bhd, Dato’ Sri Ganes Palaniapan, pula menjelaskan bahawa PSAS akan dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan latihan EV, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah elektrifikasi automotif.
https://www.instagram.com/p/DOspiQbEkWh/?img_index=1
Selain melatih pelajar, SG TVET Group turut melaksanakan program Train the Trainers bagi meningkatkan kepakaran pensyarah PSAS. Jurulatih dan pelatih akan disahkan dengan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global.
Menurut SG TVET Group, syarikat itu melalui Autotronics telah berjaya melahirkan lebih 3,000 juruteknik EV bertauliah di seluruh negara, yang kini berkhidmat dengan pensijilan tempatan dan antarabangsa.
Kerjasama ini selari dengan dasar kerajaan dalam memperkukuh agenda elektrifikasi automotif, selain memberi peluang kepada bakat tempatan khususnya di Perak untuk menguasai kemahiran teknologi EV yang semakin berkembang.
Projek di Tanjung Malim ini juga menambah senarai pengembangan SG TVET Group selepas pelancaran program bersama Kementerian Sumber Manusia di Perai, Sandakan dan Melaka.
{suggest}
