Laporan Mendapati 61% Iklan Hasad Ditujukan Untuk Windows

Windows merupakan antara sistem operasi popular yang digunakan di seluruh dunia. Ini membuatkan Windows menjadi sasaran mudah untuk kempen iklan hasad.

Berdasarkan laporan terbaru dari firma sekuriti siber, Devcon, 61% iklan hasad tersebut ditujukan untuk pengguna Windows. Statistik itu dibuat dari 11 Julai hingga 22 November tahun ini.

Untuk makluman, iklan hasad itu adalah bertujuan memanipulasi pengguna untuk memuat turun perisian hasad yang sudah tentu membahayakan mereka, Sudah semestinya anda sebagai pembaca sudah biasa dengan iklan sebegini yang bersepah di internet.

Pada statistik tersebut juga, ChromeOS adalah mangsa sasaran seterusnya dengan 22.5%, diikuti MacOS pada 10.5%. Untuk platform mudah alih, Android mempunyai sasaran iklan sebanyak 2.1% dan 3.2% untuk iOS. iPadOS pula sebanyak 0.8%.

Menariknya Linux hanya memperoleh sebanyak 0.3% iklan hasad. Untuk langkah pencegahan iklan, pihak Devcon menyarankan pengguna untuk mengemaskini perisian antivirus, sentiasa membersihkan cache pelayar web, menggunakan pelayar web memfokuskan sekuriti, mengelakkan dari menyimpan kata laluan pada pelayar web, dan sebaliknya hanya menggunakan perisian mengurus kata laluan sahaja.

Sumber: Devcon

Berkaitan