International Data Corporation (IDC) kini telah mengeluarkan laporan terbaharu mengenai pasaran global telefon pintar pada suku ketiga 2020. Menerusinya, ia memperlihatkan gergasi Korea Selatan, Samsung terus mengekalkan kedudukannya di tangga teratas.
Sementara itu, Xiaomi telah memintas Apple sebagai pengeluar ketiga terbesar di dunia pada suku ketiga tahun ini. Xiaomi meraih 13.1% pegangan pasaran berbanding Apple dengan 11.8%.
Bagaimanapun, dengan penjualan siri iPhone terbaharu yang sedikit lambat berbanding tahun lalu, ia mungkin memberi impak kepada pegangan pasaran Apple ketika ini.
IDC sebelum ini turut menjangkakan penurunan pengeluaran telefon pintar sebanyak 9% berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada pasaran global. Namun, laporan terbaharu ini menyaksikan penurunan pengeluaran telefon pintar hanya sebanyak 1.3% berbanding suku yang sama pada tahun lalu.
Secara keseluruhan, lebih 353.6 juta telefon pintar telah dipasarkan pada suku ketiga tahun ini iaitu dari Julai hingga September.
Dalam pada itu, Samsung terus menguasai pasaran telefon pintar dengan 22.7% dan 80.4 juta unit telefon pintar. Huawei berada di tangga kedua dengan 14.7% pegangan pasaran. vivo turut mengekalkan kedudukan sebagai lima pengeluar teratas dengan memperoleh 8.9%.
Sumber: IDC