Laman Web "sonymobile.com" Sudah Tiada Lagi

Persaingan dalam pasaran telefon pintar sememangnya sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ada syarikat yang kekal diatas, ada yang baru menjengah masuk terus mendapat perhatian dan ada juga yang semakin suram.

Salah satu jenama yang kurang mendapat perhatian akhir-akhir ini adalah Sony yang cukup popular dengan peranti Xperia. Terbaru, laman web "sonymobile.com" yang khusus untuk memaparkan barisan model telefon pintar sudah tiada lagi. Pautan tersebut akan terus membawa pengunjung kepada laman web "sony.com".



Informasi untuk setiap model telefon pintar kini hanya diakses daripada bahagian Electronics >Mobile pada laman utama Sony tersebut.

Penutupan laman web bagi peranti mudah alih itu dibuat tanpa sebarang pengumuman namun tidak mengejutkan. Ini kerana kita sedia melihat petanda fokus Sony pada pasaran telefon pintar tidak lagi seperti dahulu.

Selain itu, Sony juga sudah mengesahkan bahawa mereka akan menutup forum Official Xperia Support serta menamatkan Sony Mobile Communications AB, perniagaan mudah alih yang berpangkalan di Eropah.

Sumber: Xperia Blog