Harga bateri mahal menjadi menjadi salah satu penghalang utama kepada pembelian kereta elektrik (EV), kerana pengguna risau dengan kos penggantian bateri yang tinggi selepas tempoh jaminan tamat.
Namun alasan itu bakal berubah tidak lama lagi apabila harga bateri litium-ion diramalkan menurun mendadak.
Penurunan harga bateri ini amat penting untuk pasaran EV terpakai.
Menurut laporan oleh Recurrent, dengan kos pengeluaran bateri yang semakin murah, kos bagi penggantian bateri EV juga akan turut turun.
Berbanding kereta petrol yang mempunyai ratusan komponen bergerak yang mudah rosak, EV sebaliknya mempunyai komponen bergerak yang jauh lebih sedikit .
Rocky Mountain Institute (RMI) sebelum ini telah melaporkan ramalan harga bateri yang dijangka mencecah sekitar $45-$65/kWh (RM199 – RM287) sahaja menjelang 2030.
Namun, harga bateri kini dilaporkan turun lebih cepat daripada jangkaan asal.
Berdasarkan perkembangan semasa ini, penyelidik RMI meramalkan, menjelang 2030, harga pek bateri mungkin serendah $50/kWh (~RM221), bermakna bateri berkapasiti besar (100 kWh) mungkin hanya berharga sekitar $4500-$5000 (~RM19,000 – RM22,000) untuk diganti.
Atau USD3,375 (~RM15 ribu) untuk pek 75 kWj yang lebih standard. Harga penggantian itu sekali gus menjadikan ia adalah setanding menukar sebuah enjin ICE.
Laporan Recurrent menyatakan, harga pek bateri EV semakin menurun hasil kemajuan teknologi dalam tiga aspek utama berikut:
- Penggunaan kimia bateri lebih murah seperti LFP
- Pek bateri dengan ketumpatan tenaga lebih tinggi, memberi lebih nilai
- Kitar semula dan penggunaan semula bahan mentah yang jauh lebih menjimatkan kos.
Selain itu, Recurrent berkata, pengguna EV pada masa depan boleh mengurangkan kos dengan menjual semula bateri lama mereka ke pasaran bateri terpakai yang semakin berkembang.
Ini juga akan menjadikan EV yang berusia lebih 10 tahun tidak lagi dianggap tidak bernilai. Sebaliknya, pengguna boleh membeli EV terpakai dengan yakin, kerana penggantian bateri akan menjadi murah dan mudah.
{suggest}