Doktor di Jerman kini semakin kerap menetapkan aplikasi kesihatan telefon pintar kepada pesakit, di samping ubat-ubatan dan rawatan terapi, menandakan trend baharu dalam penjagaan kesihatan digital.
Mona Noe, 30 tahun, seorang penjawat awam, sentiasa menjaga pemakanan untuk mengurangkan kekejangan dan kembung akibat sindrom usus rengsa.
Atas nasihat doktornya, beliau menggunakan aplikasi Cara Care yang memberi tip kesihatan serta diari makanan untuk mengenal pasti punca kesakitannya.
“Sukar untuk melakukannya sendiri, Aplikasi ini telah mengubah cara saya memasak dengan membantu saya elak makanan tertentu.” katanya sambil menyiapkan masakan sayur tanpa lada benggala atau tomato di rumahnya di Schleiden, mengikut panduan aplikasi tersebut.
Aplikasi kesihatan seperti untuk berhenti merokok, mengawal obesiti, atau meningkatkan kesihatan mental boleh mencecah kos ratusan euro sebulan.
Namun, syarikat insurans kesihatan di Jerman menanggung perbelanjaan ini.
Setakat ini, terdapat 56 aplikasi yang dilindungi insurans, menandakan peralihan negara itu ke arah digital berbanding kaedah tradisional.
Akses “24/7”
Alat kesihatan digital yang dikenali sebagai DiGA telah tersedia dengan preskripsi sejak 2020, biasanya dengan langganan boleh diperbaharui setiap tiga bulan.
Dalam tempoh lima tahun, lebih sejuta preskripsi telah dikeluarkan.
Hampir 60% doktor di Jerman pernah menetapkan sekurang-kurangnya satu aplikasi DiGA, dengan peningkatan 85% preskripsi pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Dr. Johannes Patze dari Frankfurt berkata beliau menetapkannya “hampir setiap hari”, terutamanya untuk pesakit yang menunggu sesi terapi. Aplikasi ini menyediakan pemantauan emosi, konsultasi dalam talian, sesi meditasi, dan notifikasi motivasi.
“Kelebihannya ialah ia tersedia sepanjang masa, 24 jam sehari,” jelasnya.
Namun, kosnya tinggi – purata 600 euro (~RM3,102) untuk tiga bulan. Sejak 2020, syarikat insurans telah membayar 234 juta euro untuk langganan aplikasi kesihatan ini.

Beban Kos Kesihatan
Persatuan Insurans Kesihatan Berkanun Jerman mengkritik harga aplikasi yang dianggap “terlalu tinggi” dan kurang bukti kukuh tentang keberkesanannya.
Namun, menurut Dr. Patze, aplikasi ini berpotensi menurunkan kos penjagaan kesihatan dalam jangka panjang.
Pada 2024, Jerman membelanjakan 326.9 bilion euro untuk kesihatan – meningkat berbanding tahun sebelumnya, sebahagiannya akibat penuaan populasi.
“Dalam jangka masa panjang, kos mungkin lebih rendah kerana pesakit mendapat penjagaan lebih baik,” katanya.
Perunding kesihatan digital Henrik Matthies bersetuju:
“Ia kos permulaan, tetapi membantu pesakit kembali bekerja lebih cepat, sekali gus mengurangkan beban sistem kesihatan.”
Proses Kelulusan Pantas
Kejayaan aplikasi kesihatan di Jerman juga didorong oleh proses kelulusan pantas yang jarang berlaku di negara yang terkenal dengan birokrasi.
Pembangun aplikasi boleh memperoleh kelulusan sementara dalam masa tiga bulan, kemudian diberi tempoh setahun untuk membuktikan keberkesanan klinikal.
Daripada 228 permohonan dalam lima tahun lalu, 43 aplikasi telah diluluskan sepenuhnya, manakala 13 lagi masih dinilai. – AFP
{suggest}