Stesen pengecasan ultra pantas kenderaan elektrik (EV) pertama di lapangan terbang di Malaysia bakal dibangunkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Memetik laporan Bernama, projek itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Huawei Technologies (Malaysia), Powerlink Asia dan GM Auto EV. Huawei akan bertindak sebagai penyedia teknologi, Powerlink Asia sebagai pemilik stesen, manakala GM Auto EV akan mengendalikan operasi kemudahan tersebut.
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San berkata pada majlis pecah tanah projek itu bahawa inisiatif berkenaan menandakan permulaan kepada pembangunan lebih banyak kemudahan pengecasan EV di Selangor.
“Sekiranya projek ini terbukti mampan di Malaysia, Selangor dan Asia Tenggara, saya amat yakin bahawa model ini bukan sahaja dapat diperluas ke seluruh rantau Asia Tenggara, malah ke pelbagai bahagian dunia dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Powerlink Asia Ethan Chen berkata projek berkenaan melibatkan pelaburan kira-kira HK$5 juta (sekitar RM2.7 juta) yang dibiayai sepenuhnya menerusi modal dari Hong Kong.
Stesen pengecasan itu akan dibina di kawasan parkir KLIA Terminal 2 dan dijadualkan mula beroperasi pada akhir Julai 2026. Ia bakal dilengkapi 12 titik pengecasan menggunakan pengecas DC ultra pantas Huawei FusionCharge dengan sistem penyejukan cecair serta sistem penyimpanan tenaga. Kemudahan tersebut juga akan dibuka kepada orang awam.
{suggest}
