Dalam usaha membina dunia yang lebih digital dan kononnya lebih hijau, manusia tanpa sedar sedang menekan sumber semula jadi pada tahap yang belum pernah berlaku.
Contoh yang paling jelas adalah pembinaan pusat data AI berskala besar dan pengeluaran besar-besaran bateri bagi kenderaan elektrik (EV).
Kedua-dua ini dengan satunya memacu revolusi digital dan satu lagi menggantikan bahan api fosil, menjadi simbol kemajuan moden hari ini yang sering dipromosikan sebagai ke arah masa depan yang lebih hijau
Namun di sebalik naratif positif ini, tersembunyi kos sumber yang sangat besar.
Pusat data kini menjadi tulang belakang dunia moden. Segala-galanya daripada AI, media sosial, penstriman video, perbankan digital, hinggalah perkhidmatan kerajaan bergantung pada bangunan yang dipenuhi dengan server (pelayan) yang beroperasi 24 jam seminggu tanpa henti.
Maka, tidak hairanlah pusat-pusat data ini memerlukan tenaga elektrik yang sangat tinggi. Bukan sekadar untuk menghidupkan server, tetapi juga untuk sistem penyejukan bagi memastikan suhu sentiasa stabil untuk operasi tanpa gangguan.
Selain elektrik, pusat data juga menggunakan air dalam jumlah yang sangat besar. Sistem penyejukan berasaskan air boleh menggunakan berjuta-juta liter sehari.
Laporan terbaru oleh Global Water Intteligence (GWi) mendapati, penggunaan tambahan sebanyak 30 trilion liter air setahun diperlukan untuk Industri AI sahaja meliputi pusat data, penjanaan tenaga termasuklah kilang semikonduktor, di mana sektor ini bergantung kuat kepada air untuk operasi hariannya.
Di kawasan yang berdepan tekanan bekalan air, kehadiran pusat data berskala besar boleh memberi kesan langsung kepada komuniti setempat.
Air yang sepatutnya menjadi keperluan asas manusia kini bersaing dengan keperluan industri digital.
Dunia turut berlumba-lumba beralih kepada kenderaan elektrik. EV dilihat sebagai penyelesaian kepada pencemaran karbon daripada enjin pembakaran dalaman (ICE).
Namun, bateri EV membawa set cabaran yang berbeza. Penghasilan bateri memerlukan perlombongan bahan mentah seperti litium, nikel, kobalt dan grafit.
Proses pembuatan bateri EV juga sangat intensif dari segi penggunaan tenaga. Litium ialah bahan yang biasa digunakan dalam bateri EV, dan permintaan untuk bateri ini meningkat dengan mendadak mutakhir ini.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), bateri EV menyumbang kira-kira 85 peratus daripada jumlah permintaan litium pada 2023, meningkat 30 peratus daripada tahun sebelumnya.
Akibatnya, perut bumi semakin rakus digali di beberapa buah negara bagi mengeluarkan isi perutnya yang kaya dengan bahan galian ini bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat saban tahun.
Aktiviti perlombongan ini bukan sahaja merosakkan alam sekitar, malah sering dikaitkan dengan pencemaran air, kemusnahan ekosistem dan isu sosial di negara pengeluar.
Sebuah kereta elektrik mungkin tidak mengeluarkan asap ketika dipandu, tetapi jejak karbonnya sudah wujud lama sebelum ia berada di jalan raya.
Tambahan pula, persoalan tentang kitar semula bateri masih belum benar-benar diselesaikan
Apabila bateri mencapai penghujung hayat, ia berpotensi menjadi sisa berbahaya jika tidak diurus dengan betul.
Dunia kini sedang menyaksikan industri pusat data dan EV berkembang serentak.
Lebih banyak pusat data kini diperlukan untuk menyokong perisian, AI dan sistem pintar yang juga digunakan dalam EV moden.
Lebih banyak EV pula meningkatkan permintaan terhadap bateri, tenaga elektrik dan infrastruktur digital.
Kitaran ini sekali gus mempercepatkan penggunaan sumber global tanpa memberi ruang yang cukup untuk pemulihan alam.
Isunya bukan teknologi itu sendiri, tetapi cara kita menskalakannya.
Dunia terlalu fokus pada pertumbuhan, kelajuan dan dominasi pasaran, sementara kecekapan sumber dan kelestarian sering menjadi perkara sampingan.
Tanpa perubahan pendekatan, kita berisiko menggantikan satu krisis dengan krisis yang lain.
Jika pusat data dan bateri EV benar-benar mahu menjadi simbol masa depan, ia perlu dibina atas asas yang lebih bertanggungjawab.
Tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk lebih cekap, kitar semula yang serius, dan penggunaan yang lebih berhemah bukan lagi pilihan — tetapi keperluan.
Jika tidak, kemajuan yang kita banggakan hari ini mungkin menjadi punca kekurangan sumber untuk generasi akan datang.
Sekian.
{suggest}
