Sebelum ini, saya ada kongsikan maksud huruf pada nama CPU AMD Ryzen. Dalam artikel ini pula, saya akan berkongsi kepada anda akan maksud huruf pada nama CPU Intel.
Intel merupakan jenama besar di samping AMD dalam menghasilkan cip pemprosesan untuk kegunaan PC seperti desktop dan komputer riba.
Hampir setiap CPU daripada Intel mempunyai nama yang disertakan huruf atau abjad dibelakang namanya seperti K, G, H, F, U, X/XE dan lain-lain.
Huruf-Huruf Pada CPU Intel
Abjad “K”
CPU dengan huruf K ini bermaksud ia adalah cip pemprosesan yang pantas, mempunyai ‘clock speed’ lebih tinggi dan memerlukan kuasa yang lebih banyak.
Tambahan lagi, cip pemprosesan ini mempunyai ciri overclock di mana ia boleh beroperasi melebihi kelajuan asalnya. Secara tidak langsung, ini memberi penambahan dalam prestasi dan juga peningkatan pengeluaran haba.
Oleh itu, binaan PC dengan cip pemprosesan K ini memerlukan sistem penyejukan yang lebih efektif. Sebagai contoh, CPU Intel dengan huruf K adalah i9-12900K yang merupakan antara cip pemprosesan komputer paling berkuasa ketika ini.
Abjad “S”
CPU dengan huruf S merupakan cip pemprosesan dalam siri special edition Intel. Kebiasaannya, Intel menghasilkan CPU special edition untuk cip pemprosesan yang berprestasi tinggi seperti i9-12900KS.
Abjad “T”
Cip pemprosesan Intel dengan huruf T direka untuk menggunakan kuasa yang lebih rendah berbanding CPU biasa. Oleh itu, cip pemprosesan dalam siri ini biasa mempunyai prestasi yang biasa-biasa sahaja dan tidak menghasilkan haba yang banyak.
Abjad “U”
Cip pemprosesan dengan huruf U biasanya boleh kita jumpa pada komputer riba atau peranti mudah alih. Hal ini kerana CPU Intel ini lebih jimat kuasa dan menggunakan kuasa yang kurang untuk beroperasi berbanding CPU bukan U.
Akan tetapi, ia mempunyai kelajuan CPU (clock speeds) yang lebih perlahan dan prestasi yang tidak sehebat cip pemprosesan Intel yang lain.
Abjad “H”
CPU Intel dalam siri H pula direka untuk memberikan prestasi yang tinggi kepada peranti kompak dan mudah alih. Oleh sebab itu, CPU ini kebiasaannya boleh didapati pada komputer riba gaming.
Abjad “HK”
Cip pemprosesan siri HK ini mempunyai ciri prestasi tinggi yang sama seperti H. Selain itu, ia mempunyai ciri tambahan “overclock” daripada siri K yang membolehkan ia untuk beroperasi melebihi kelajuan rasminya.
Abjad “HQ”
Untuk siri abjad HQ, ia juga telah dioptimumkan untuk memberi prestasi yang tinggi kepada komputer riba. Huruf Q bermaksud Quad di mana CPU ini mempunyai 4 teras.
Abjad “G”
G bermaksud CPU tersebut mempunyai binaan graphic processing unit yang tersedia didalamnya. Oleh itu, anda boleh mengaktifkan binaan PC anda seperti biasa tanpa perlu membeli GPU secara berasingan.
Akan tetapi, prestasinya tidak setanding dengan prestasi kad grafik konvensional daripada Nvidia dan AMD.
Abjad “F”
Berlawanan dengan huruf G, cip pemprosesan F bermaksud ia tidak mempunyai unit pemprosesan grafik yang terintegrasi didalamnya. Oleh itu, anda perlu membeli kad grafik asing jika binaan PC anda menggunakan CPU dalam siri ini seperti i5-12400F.
Abjad “X/XE”
Cip pemprosesan X/XE (extreme edition) secara ringkasnya adalah CPU dengan prestasi yang berprestasi tinggi dan boleh dikategorikan sebagai CPU paling berkuasa dalam kelasnya.
Akan tetapi, harga CPU ini lebih mahal berbanding harga CPU dipasaran dan Intel juga tidak menyambung cip pemprosesan siri X ini selepas generasinya yang ke 10.
Saya berharap penulisan ini dapat membantu anda dalam memahami fungsi, kelebihan dan pilihan CPU mana yang sesuai untuk dipilih dalam binaan PC anda.
Sumber: Intel
Baca juga: