Hampir seminggu temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung. Selain tempat tidur di perkampungan Olimpik menggunakan kotak yang dikitar semula, pingat bagi pemenang juga adalah hasil daripada kitar semula.
Menurut penganjurnya Jepun, Tokyo 2020 Medal Project telah dilancarkan sejak tahun 2017 lagi dan idea tersebut sudah timbul pada tahun 2016. Menerusi projek itu, mereka berjaya mengumpul 78,985 tan peranti elektronik termasuk 6.21 juta telefon.
Daripada keseluruhan, mereka berjaya memiliki bahan emas sekitar 32kg, perak 3500kg dan juga gangsa 2200kg.
Kesemua bahan tersebut akhirnya dapat menghasilkan 5000 pingat yang merangkumi emas, perak dan gangsa. Usaha ini secara tidak langsung adalah satu inovasi daripada mereka disamping dapat menjimatkan sumber alam.
Oleh yang demikian, pingat yang kita lihat di kaca televisyen itu adalah hasil daripada bahan kitar semula.
Sementara itu, terdapat lagi satu projek yang dinamakan Yasu Project. Melaluinya, Mobile Mosque atau surau bergerak dapat dilancarkan khusus untuk atlet beragama Islam.
Mobile Mosque ini menggunakan sebuah trak dan di dalamnya, ia mampu memuatkan 50 individu. Selain itu, ia turut mempunyai sejadah dan juga tempat mengambil air wudhu’.
Biarpun kes COVID-19 masih lagi tinggi tetapi pujian harus diberikan kepada Jepun kerana tidak mengabaikan kebajikan serta keselesaan buat semua negara yang terlibat.
Apa-apa pun, sama-sama kita doakan buat atlet kita yang masih berjuang demi membawa pingat pulang ke Malaysia.
Sumber: Olimpik 1, Olimpik 2, NHK World-Japan
Baca juga artikel berkaitan: