Kes ‘Scam’ Naik 82% Di Kedah, Polis Garu Kepala Ada Individu Berpendidikan Tinggi Terperdaya

Kes penipuan dalam talian atau sering disebut ‘scam’ naik mendadak sebanyak 82% di Kedah, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia melibatkan kerugian sekitar RM5 juta dari 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

Timbalan Ketua Polis Kedah Mohd Roze Shaari, meluahkan rasa bimbang dan hairan kerana ramai antara mangsa adalah daripada golongan berpendidikan tinggi.

“Saya sendiri berasa hairan apabila ada antara mangsa yang berpendidikan tinggi turut ditipu dalam aktiviti ‘scam’ ini. Di sini, saya ingin menegaskan bahawa polis sama sekali tidak akan menemu duga atau meminta pengenalan diri mana-mana individu melalui panggilan telefon,” kata beliau kepada wartawan.

Sehubungan itu, Mohd Roze juga menggesa mangsa agar tidak menunggu sehingga mengalami kerugian besar untuk membuat laporan.

Mereka perlu bertindak dengan cepat melaporkan penipuan kepada pihak polis agar tindakan susulan dapat diambil lebih pantas.

Sumber: BERNAMA