Kerajaan sedang meneroka potensi teknologi penyahgaraman air laut sebagai salah satu sumber air alternatif bagi menyokong pembangunan industri yang mempunyai keperluan air yang tinggi, termasuk pusat data.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata pusat data tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bekalan air terawat yang diutamakan untuk kegunaan domestik.
Sebaliknya, industri berkenaan digalakkan memanfaatkan sumber alternatif seperti Air Pulih Guna (APG), penyahgaraman air laut serta sumber bukan konvensional lain mengikut kesesuaian lokasi dan keperluan operasi.
Pendekatan ini membolehkan pembangunan industri digital diteruskan tanpa menjejaskan keutamaan bekalan air terawat untuk kegunaan rakyat.
“Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu mengambil kira kesesuaian lokasi, keperluan tenaga, kos pengeluaran air serta daya maju ekonomi sebelum dilaksanakan pada skala yang lebih luas,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen semalam.
Bagi menyokong usaha tersebut, PETRA melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang menjalankan penyelidikan berkaitan kesesuaian teknologi penyahgaraman air laut di kawasan kepulauan serta projek pembinaan loji penyahgaraman bagi membekalkan air bersih kepada Pos Keselamatan ESSCOM di Sabah.
Hasil penyelidikan dan projek rintis ini akan menjadi asas kepada penilaian aspek teknikal, ekonomi serta kebolehlaksanaan teknologi tersebut sebelum dipertimbangkan untuk penggunaan lebih meluas, termasuk dalam sektor perindustrian.
Sementara itu, bagi memenuhi keperluan semasa pusat data, kerajaan turut menggalakkan penggunaan sumber air alternatif yang lebih ekonomik seperti APG dan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH).
Ketika ini, terdapat empat loji rawatan APG di Semenanjung Malaysia yang membekalkan air kepada pusat data dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 19.5 juta liter sehari (JLH), sekali gus membantu mengurangkan penggunaan air terawat oleh sektor industri.
{suggest}
