Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Kenali Saintis Malaysia Yang Namanya Diabadikan Pada Spesis Baharu Parasit Ikan Kap

Posted on Mac 1, 2026Mac 1, 2026

Baru-baru ini, nama seorang pensyarah kanan sebuah universiti tempatan menjadi sebutan apabila nama beliau telah diabadikan pada spesies baru parasit ikan yang ditemui di beberapa ladang ikan dan sistem air Tasik Balaton, Hungary.

Beliau yang dimaksudkan adalah Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin, seorang saintis marin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di mana nama beliau telah diabadikan pada spesis baru parasit ikan kap yang dinamakan sebagai Thelohanellus borkhanuddini.

Walaupun spesis baru itu ditemui oleh penyelidik Hungary, tapi pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan besar beliau dalam bidang parasitologi ikan dan ekologi invertebrata.

Orang Melaka

Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin yang berasal dari Melaka memiliki Ijazah Sarjana Muda Biologi Marin (UMT).

Kemudian beliau menyambung pengajian ke peringkat Sarjana (Master, MSc) Zoologi (UMT).

Seterusnya pengajian beliau dilanjutkan ke peringkat PhD di University of Pannonia, Hungary dengan kerjasama Hungarian Academy of Sciences (Fish Pathology and Parasitology Laboratory).

Pegang Autoriti Taksonomi Bagi 10 Spesis Baru

Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin merupakan seorang ahli biologi marin yang mengkhusus dalam sains biodiversiti marin, parasitologi ikan serta kajian organisma invertebrata (kumpulan haiwan tidak bertulang belakang) yang mendiami zon bentik ekosistem marin dan air tawar.

Sumbang kepakaran

Sumbangan utama kajian beliau terserlah dalam bidang parasitologi myxozoa (parasit yang sangat pelbagai dan tersebar di seluruh dunia di habitat air tawar dan laut.)

Apa yang lebih mengagumkan adalah, beliau memegang autoriti taksonomi bersama bagi kira-kira 10 spesies parasit baharu myxosporea (parasit yang biasa menjangkiti ikan laut & air tawar) dari Malaysia serta satu spesis dari Portugal.

Antara sumbangan besar beliau ialah mencadangkan pengubahsuaian kerangka penamaan saintifik bagi mengelakkan pertindihan nama spesis serta memastikan kestabilan pengelasan organisma secara jangka panjang.

Hasil usahanya dalam bidang parasit juga telah menyumbang secara tidak langsung kepada usaha antarabangsa gunaan, termasuk projek European Horizon 2020 (ParaFish Control), di mana hasil penyelidikannya menyokong perbincangan tentang kitaran hayat parasit dan proses berkaitan penyakit.

Pulihara terumbu karang

Di peringkat serantau, beliau memainkan peranan penting dalam Marine Biodiversity Survey of Southeast Asia-Malaysia (MBSSEAM) bersama rakan penyelidik dari Singapura dan Indonesia.

Inisiatif ini menggunakan Autonomous Reef Monitoring Structures (ARMS) sebagai platform piawai bagi menilai biodiversiti invertebrata marin di terumbu karang secara perbandingan dan jangka panjang.

Fokus penyelidikan semasa beliau ialah proses kolonisasi dan penggantian terumbu, menjejaki penempatan invertebrata daripada peringkat biofilem awal hinggalah komuniti matang dalam tempoh beberapa tahun. 

Kajian beliau ini sekaligus menyediakan data asas penting tentang biodiversiti yang sering terlepas pandang dalam tinjauan konvensional. 

Selain itu, beliau turut mengetuai kajian ekologi nudibranch (kesihatan terumbu karang) dengan menggabungkan pemerhatian lapangan dan metabarcoding (kaedah berasaskan DNA untuk mengenal pasti berbilang spesies secara serentak) kandungan usus untuk memahami strategi pemakanan, habitat dan rangkaian makanan terumbu.

Ke Antartika

Pada awal 2025 lalu, beliau merupakan wakil tunggal Malaysia yang bertuah merasai sendiri pengalaman menjejakkan kaki di Antartika selepas terpilih menyertai ekspedisi Austral Fall–Winter Joint Twilight Ross Sea Ecosystem Studies (JTRES 2025).

Pemilihan ini juga memperkukuhkan lagi penglibatan Malaysia dalam penyelidikan marin kutub. 

Pada ekspedisi JTRES 2025 itu juga, beliau mengetengahkan penyelidikan parasitologi marin dengan kajian bertajuk “Diversity of Endoparasite Communities in Benthic and Pelagic Antarctic Zooplankton in Ross Sea: Multispecies and Multitrophic Approach Using Integrated Analysis Techniques”.

Thelohanellus borkhanuddini

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, spesis baharu parasit ikan, Thelohanellus borkhanuddini telah ditemui oleh penyelidik Hungary.

Secara khusus, mereka menemui sebanyak 3 parasit Spesies Thelohanellus, yang sama sekali tidak diketahui oleh sains. 

Thelohanellus borkhanuddini pula ialah spesies parasit baharu yang ditemui pada ikan kap biasa (Cyprinus carpio) di Hungary.

Thelohanellus borkhanuddini ditemui pada beberapa bahagian organ dalaman ikan kap termasuklah buah pinggang, usus dan organ abdomen lain.

Parasit ini yang berupa spora berbentuk pir panjang, berukuran kira-kira 20 µm panjang dan 9 µm lebar.

Walaupun T. borkhanuddini hampir menyerupai spesis parasit lain, namun, perbezaannya utama ialah spora T. borkhanuddini didapati lebih tebal dan mempunyai jumlah lilitan tiub polar yang berbeza.

Thelohanellus borkhanuddini.
Lukisan skematik Thelohanellus borkhanuddini n. sp. (A) Pandangan hadapan. (B) Pandangan sutural. Lukisan skematik jenis neoactinomyxum T. borkhanuddini n. sp. (C) Pandangan hadapan. (D) Pandangan sutural. Bar skala mewakili 10 µm.

Satu lagi hasil luar biasa dari penemuan ini adalah kitaran hayat T. borkhanuddini disimpulkan melalui jangkitan eksperimen dengan menjangkiti benih ikan kap biasa yang tidak aktif.

“Kitaran hidup T. borkhanuddini n. sp. telah disimpulkan melalui pencirian molekul dan jangkitan eksperimen yang berjaya, memberikan bukti kukuh untuk laluan perkembangannya.” Pasukan penyelidik.

Parasit ini adalah parasit mikroskopik yang boleh menjejaskan status kesihatan dan rintangan ikan.

Jadi, penemuan ini adalah sangat penting dari sudut akuakultur dan kesihatan ikan.

Tahniah Dr. Hafiz dan pasukan penyelidik Hungary

Apa yang dapat disimpulkan adalah penemuan Thelohanellus borkhanuddini ini bukan sahaja menambah kepelbagaian spesies parasit Thelohanellus dalam populasi kap di Hungary, tetapi nama Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin yang terpilih untuk diabadikan pada spesis baru itu sekaligus mengiktiraf kepakaran saintis Malaysia di peringkat dunia.

Namun begitu, Dr. Hafiz tetap merendah diri dengan menegaskan bahawa ia bukanlah pencapaian individu, sebaliknya beliau mengkreditkan pengiktirafan nama spesies baharu ini sepenuhnya kepada pasukan penyelidik di Hungary, termasuk calon PhD Malaysia yang sedang menjalankan kajian tersebut, Cik Nadhirah Syafiqah. 

“Segala kejayaan ini merupakan hasil kolaborasi berterusan dan ekosistem akademik yang positif antara kedua-dua pihak.”

Kini, selain mengajar untuk Program Biologi Marin di Fakulti Sains & Alam Sekitar Marin, UMT, Dr. Hafiz juga mengetuai Pusat Rujukan & Repositori (RRC-UMT), di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), sambil aktif menerbitkan jurnal, membantu pelajar di bawah seliaannya dan seterusnya memperkasa komuniti marin melalui latihan pemulihan terumbu karang serta program kesedaran di Terengganu.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress