China baru-baru ini mencipta rekod baharu dalam menghasilkan sumber tenaga bersih menerusi proses pelakuran nuklear. Sumber tenaga reaktor gabungan nuklear yang digelar Experimental Advanced Superconducting Tokamak (EAST) atau Matahari Buatan (Artificial Sun) ini berjaya menjana tenaga pada suhu 120 juta darjah celcius selama 101 saat dan 160 juta darjah celcius selama 20 saat di mana ia adalah 10 kali ganda lebih panas daripada Matahari.
EAST ini terletak di Hefei Institute of Physical Science Academy of Science dan mengapa ia dipanggil “artificial sun” adalah disebabkan ia hampir menyerupai reaktor nuklear berasaskan pelakuran pada Matahari sebenar.
Misi China dalam membangunkannya adalah untuk membekalkan tenaga bersih dan lebih cekap serta hampir ke arah bekalan tanpa had. Selain China, syarikat di United Kingdom juga berharap dalam menjayakan sumber tenaga sedemikian menjelang tahun 2030.
Oleh yang demikian, bagi memudahkan pemahaman secara ringkas dan mengelakkan kekeliruan, ini adalah penjelasan mudah oleh Zamir Mohyedin yang mana rata-rata warga Twitter sudah mengenalinya. Beliau seorang yang berpengetahuan luas tentang fizik dan telah menerbitkan beberapa buku berkaitan fizik, salah satu yang popular ialah Genesis: Kosmologi dan Dunia Kuantum.
Penjelasan Zamir:
Penjelasan ringkas tentang Matahari Buatan (Artificial Sun).
China berjaya membina reaktor nuklear berasaskan pelakuran (fusion) nuklear yang berjaya menjana tenaga bersuhu sehingga 150 juta darjah celsius (10 kali ganda lebih panas daripada Matahari).
Antara cabaran terbesar untuk membina reaktor ini ialah sebenarnya untuk tampung tenaga yang dihasilkan daripada proses pelakuran nuklear yang jauh lebih kuat daripada pembelahan nuklear (bom atom misalnya). Jutaan kali lebih kuat daripada janaan tenaga konvensional.
Matlamat utama pembinaan reaktor nuklear berasaskan pelakuran ini ialah bertujuaan untuk janaan tenaga yang lebih cekap dan bersih. Penggunaan tenaga ini tidak akan menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida dan gas-gas rumah hijau.
Selain daripada kelebihannya yang bersih dan penghasilan tenaga yang kuat, pelakuran nuklear tidak menghasilkan produk radioktif yang lama jangka hayatnya, tidak seperti produk pembelahan nuklear (nuclear fission).
Penggunaan tenaga ini dapat memberikan manfaat kepada manusia keseluruhannya. Konvesionalnya, kita banyak guna arang untuk jana tenaga. Yang hidupkan lampu, penghawa dingin, komputer dan pelbagai lagi mesin dan perkakas elektrik, sumber tenaganya banyak daripada penggunaan arang.
Penggunaan arang banyak keburukannya. Tidak bersih, mengakibatkan pencemaran, penghasilan tenaganya pun tidak sebagus nuklear. Sekitar tahun 2040, United Nations (UN) mensasarkan untuk hentikan penggunaan arang sebagai sumber tenaga di seluruh dunia.
Reaktor pelakuran nuklear ini digelar “Matahari Buatan” (Artificial Sun) kerana secara semulajadinya, proses pelakuran nuklear hanya dapat berlaku pada Matahari (dan bintang-bintang lainnya). Manusia berjaya lakukan sendiri proses yang serupa seperti Matahari di Bumi melalui reaktor. Bukannya dibuat Matahari macam Matahari betul-betul rupanya.
Jadi, tidak benar dakwaan Korea Selatan dan China mahu membina Matahari Buatan kerana mahu gantung satu lagi Matahari di Bumi atau mencabar kuasa Tuhan. Menggantung satu lagi Matahari di Bumi sedikit pun tidak memberikan keuntungan.
Rujukan: Zamir Mohyedin, scmp, livescience
Foto utama: CGTN