Kemaskini iOS 14.4 Dilepaskan Dengan Baik Pulih Kerentanan Yang Mungkin Dieksploitasi Secara Aktif

Apple hari ini telah melepaskan kemas kini iOS 14.4 dan iPadOS 14.4, dengan baik pulih keselamatan bagi kerentanan yang mungkin dieksploitasi secara aktif oleh penggodam.

Di bawah kemas kini Kernel (teras bagi sistem operasi) dalam dokumen sokongan keselamatan, Apple menyatakan,

"A malicious application may be able to elevate privileges. Apple is aware of a report that this issue may have been actively exploited."

Sementara itu, di bawah kemas kini Webkit, enjin carian yang digunakan pada pelayar Safari, Apple menyatakan "penyerang jarak jauh mungkin dapat menyebabkan pelaksanaan kod sewenang-wenangnya".

Dengan itu, pengguna disarankan untuk mengemaskini peranti dengan iOS 14.4 dan iPadOS 14.4 secepat yang mungkin. Ini kerana, dalam erti yang mudah difahami, Apple telah menjumpai kelemahan keselamatan dalam sistem operasinya. Ia juga mempunyai bukti seseorang mungkin telah mengeksploitasi kelemahan keselamatan itu.

Buat masa ini, tiada butiran lanjut yang didedahkan. Apple menyatakan perincian mengenai kerentanan itu akan dikemaskini tidak lama lagi, namun tiada tarikh spesifik yang dimaklumkan.

Untuk kemas kini iOS 14.4, ianya boleh dilakukan melalui aplikasi SettingsĀ > General > Software Update > Download and Install.

Sumber: Apple via Techcrunch