iPhone 12 Pro Max Dimuatkan Bateri Berkapasiti 3687mAh, Lebih Rendah Berbanding iPhone 11 Pro Max

iPhone 12 Pro Max secara rasmi telah dijual di Malaysia bermula hari ini bersama-sama tiga model iPhone 12 yang lain. Terbaru, kapasiti bateri iPhone 12 Pro Max telah didedahkan.

Berdasarkan imej yang dimuatnaik melalui Weibo, ia memperlihatkan iPhone 12 Pro Max dimuatkan dengan bateri berkapasiti 3687mAh.



Ini bermakna, kapasiti bateri iPhone 12 Pro Max adalah lebih rendah berbanding iPhone 11 Pro Max yang mempunyai bateri berkapasiti 3969mAh.

Terdahulu, bateri iPhone 12 dan iPhone 12 mini turut didedahkan dengan masing-masing berkapasiti 2815mAh dan 2227mAh. Apple menyatakan bateri yang dimuatkan pada semua model iPhone 12 adalah lebih cekap tenaga dengan penggunaan cip A14 Bionic.



Dalam pada itu, ia turut memperlihatkan papan induk iPhone 12 Pro Max yang bersaiz sama seperti terdapat pada iPhone 12 dan iPhone 12 Pro.

Selain memperlihatkan bahagian dalaman iPhone 12 Pro Max, tiada maklumat lanjut yang didedahkan.

Sumber: Weibo via GSMArena