Telefon pintar tidak dinafikan menjadi peranti penting dalam kehidupan seharian bagi melakukan pelbagai perkara.
Tetapi jika digunakan tanpa kawalan, ia boleh memberikan kesan negatif iaitu ketagihan telefon pintar.
Ketagihan telefon pintar merupakan isu yang hangat diperdebatkan sejak beberapa tahun lalu.
Malah isu ketagihan ini juga masih diperdebatkan sehingga kini. Ketagihan telefon pintar pula bukan sahaja boleh berlaku pada peringkat umur tertentu.
Sebaliknya boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa. Sesiapa sahaja boleh menjadi ketagih sehingga menjadi kronik jika tiada kawalan terhadap penggunaan peranti pintar dari peringkat awal.
Berdasarkan tinjauan kaji selidik yang dijalankan oleh laman analisis SimpleTexting terhadap pengguna di Amerika Syarikat (A.S), mereka mendapati Generasi Z yang lahir antara tahun 1995 hingga 2010 adalah yang paling ramai menghabiskan masa mereka dengan telefon pintar iaitu pada tahap 76.3%.
Ia diikuti oleh golongan Milenium (Gen Y) yang lahir antara tahun 1980 hingga 1994 (67.3%), Gen X (66.7%) yang lahir antara tahun 1960 hingga 1979 dan Baby boomers (51.6%) yang lahir antara tahun 1940 hingga 1959.
Malah 1 daripada 3 responden yang terlibat dalam kaji selidik itu mengakui masa yang dihabiskan pada skrin telefon pintar mereka memberi masalah terhadap kerja dan kehidupan peribadi mereka.
24% Responden dari Gen Z menyatakan masa yang dihabiskan bersama telefon pintar kini menjadi masalah kehidupan peribadi mereka.
Selain itu, penyelidik SimpleTexting juga mendapati pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini turut menyebabkan pekerja yang bekerja dari rumah lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar mereka.
Ketagihan telefon pintar boleh membawa kepada kesihatan mental sehingga berlakunya penyakit yang dikenali sebagai nomofobia iaitu perasaan yang takut apabila ketiadaan telefon pintar atau tidak boleh menggunakannya.
Sumber: SimpleTexting
Baca juga: Nomofobia: Perasaan Takut Untuk Hidup Tanpa Telefon Pintar
Kerajaan Jalankan Kajian Untuk Hadkan Internet Keatas Remaja Selepas 12 Malam