Penggunaan ChatGPT dalam aktiviti harian memang banyak membantu memudahkan urusan kerja.
Tetapi, satu kajian terbaru dari MIT Media Lab mencetuskan kebimbangan apabila mendapati penggunaan ChatGPT boleh melemahkan keupayaan berfikir kritikal, terutama dalam kalangan pelajar muda.
Dalam kajian yang dijalankan dalam tempoh 4 bulan itu, penyelidik melakukan imbasan otak (EEG) ke atas 54 peserta yang menggunakan ChatGPT untuk menulis esei.
Ia melibatkan peserta berumur antara 18 hingga 39 tahun yang dibahagikan kepada tiga kumpulan: satu menulis esei dengan bantuan ChatGPT, satu menggunakan Google, dan satu lagi hanya menggunakan daya fikir sendiri.

Hasil kajian itu mendapati, 83.3% pengguna ChatGPT tidak mampu mengingati isi esei yang mereka hasilkan hanya selepas beberapa minit mengarang.
Kumpulan yang menggunakan ChatGPT didapati menunjukkan tahap aktiviti otak paling rendah.
Sambungan neural otak peserta yang menggunakan ChatGPT menunjukkan ia merosot sebanyak 47% apabila sambungan antara bahagian otak didapati menurun daripada 79 kepada 42, yang boleh diibaratkan seperti komputer anda hilang separuh daripada kuasa pemprosesannya.
Otak menjadi kurang aktif, kurang bersambung, dan menjadi lebih pasif.

Bukan itu sahaja, esei yang dihasilkan oleh mereka semakin “malas” dan bergantung penuh kepada fungsi salin dan tampal.
Penyelidik MIT menyebut fenomena ini sebagai “cognitive debt” atau hutang kognitif.
Seperti hutang teknikal, tetapi melibatkan keupayaan otak.
Jadi, setiap kali kita ambil jalan pintas dengan AI, kita bayar harganya dengan kehilangan keupayaan berfikir sendiri.
Esei mereka juga dikatakan “tiada jiwa” oleh guru bahasa Inggeris yang menilainya, walaupun guru-guru yang menilai esei itu tidak tahu ia ditulis oleh AI.
Tetapi mereka dapat merasakannya bahawa kandungan esei itu tiada jiwa, tiada pengalaman peribadi, hanya bahasa yang cantik tanpa makna mendalam.
Sebaliknya, ia jauh berbeza dengan kumpulan yang menulis tanpa bantuan AI apabila kumoulan itu menunjukkan aktiviti otak yang paling aktif, terutama dalam bahagian berkaitan kreativiti dan ingatan.
Mereka juga lebih puas hati dan berasa bangga dengan hasil kerja sendiri.
Kumpulan yang menggunakan Google juga menunjukkan pemikiran yang aktif kerana mereka masih perlu mencari, menilai dan menyusun maklumat sendiri.
Menariknya, apabila kumpulan pengguna ChatGPT diminta menulis semula esei mereka tanpa bantuan AI, mereka gagal mengingati isi kandungan dan menunjukkan aktiviti otak yang lemah, tanda maklumat tidak benar-benar diserap oleh minda mereka.
Ketua penyelidik kajian ini, Nataliya Kosmyna, berpendapat kita perlu berhati-hati sebelum memperkenalkan AI secara meluas dalam sistem pendidikan, terutamanya kepada kanak-kanak.
Ini kerana, apa yang lebih mengejutkan adalah, penyelidik mendapati, mereka yang kerap menggunakan AI dan apabila dipaksa menulis secara manual, hasilnya berakhir dengan lebih teruk berbanding mereka yang tak pernah guna AI langsung.
Ini menunjukkan, ia bukan sekadar ketagihan, tapi adalah otak yang lupa cara berfungsi.
Otak yang sedang berkembang, katanya, perlu dirangsang secara analog, bukan hanya disuap jawapan oleh AI.
Malah, beliau sedang menjalankan kajian lanjutan dalam bidang pengaturcaraan yang menunjukkan kesan lebih teruk apabila AI digunakan secara berlebihan.
Seorang pakar psikiatri, Dr. Zishan Khan, turut bersetuju bahawa kebergantungan kepada AI boleh melemahkan daya ingatan, ketahanan mental, dan kebolehan menyelesaikan masalah di mana semua ini penting untuk pembentukan minda yang sihat dan berdikari.
Walaupun AI seperti ChatGPT sangat berguna, penggunaannya dalam pendidikan memerlukan pendekatan yang bijak.
Jika tidak dikawal, kita mungkin sedang melahirkan generasi yang bijak menjana jawapan, tetapi kurang kemahiran untuk berfikir sendiri.
Cuma, sedikit berita baik daripada kajian itu adalah individu yang sudah mempunyai asas kognitif yang kukuh, apabila menggunakan AI secara strategik, menunjukkan peningkatan sambungan otak.
Jadi, isu ini bukanlah salah AI, sebaliknya apa yang penting adalah bagaimana kita menggunakannya.
AI bukanlah sebagai ‘tongkat’, tetapi sebagai alat bantu pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk memperkayakan lagi proses pembelajaran dan keupayaan berfikir.
{suggest}
Sumber: TIME