Pengguna ubat penurunan berat badan generasi baharu didapati mengalami pertambahan berat badan semula pada kadar empat kali lebih pantas selepas berhenti mengambil ubat, berbanding mereka yang menghentikan program diet dan senaman, menurut kajian terbaharu yang diterbitkan pada Khamis.
Namun, penyelidik Britain yang menjalankan ulasan terbesar dan paling terkini mengenai topik ini menjelaskan bahawa situasi itu sebahagian besarnya berpunca daripada penurunan berat badan yang terlalu banyak pada peringkat awal.
Ubat suntikan penekan selera makan generasi baharu yang dikenali sebagai agonis GLP-1 semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengubah landskap rawatan obesiti dan diabetes di banyak negara.
Kajian mendapati ubat ini mampu membantu pengguna menurunkan antara 15 hingga 20 peratus berat badan mereka.
“Secara keseluruhan, ini kelihatan seperti berita baik,” kata Susan Jebb, saintis pemakanan kesihatan awam dari Universiti Oxford dan penulis bersama kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal BMJ.
Namun begitu, data terkini menunjukkan kira-kira separuh daripada pengguna menghentikan pengambilan ubat ini dalam tempoh setahun, katanya dalam satu sidang media.
Antara punca utama ialah kesan sampingan seperti loya serta kos yang tinggi, dengan harga mencecah lebih AS$1,000 sebulan di Amerika Syarikat.
Pasukan penyelidik meneliti 37 kajian berkaitan pemberhentian ubat penurunan berat badan dan mendapati peserta mengalami peningkatan purata sekitar 0.4 kilogram sebulan selepas berhenti mengambil ubat.
Enam daripada ujian klinikal tersebut melibatkan semaglutide, bahan aktif dalam Ozempic dan Wegovy, serta tirzepatide yang digunakan dalam Mounjaro dan Zepbound.
Sepanjang tempoh pengambilan ubat, peserta kajian kehilangan hampir 15 kilogram secara purata. Namun selepas berhenti, mereka kembali menambah sekitar 10 kilogram dalam tempoh setahun, iaitu tempoh susulan paling lama setakat ini bagi ubat baharu tersebut.
Penyelidik menjangkakan berat badan peserta akan kembali ke paras asal dalam tempoh 18 bulan. Penanda kesihatan jantung seperti tekanan darah dan paras kolesterol turut kembali ke tahap asal selepas kira-kira 1.4 tahun.
Sebaliknya, individu yang mengikuti program diet dan senaman tanpa ubat kehilangan berat badan yang lebih sedikit, namun mengambil purata empat tahun untuk kembali ke berat asal. Ini bermakna pengguna ubat mengalami pertambahan berat badan semula empat kali lebih pantas.
“Penurunan berat badan yang lebih besar biasanya diikuti dengan pertambahan berat yang lebih cepat,” jelas ketua penulis kajian, Sam West dari Universiti Oxford.
Namun, analisis berasingan menunjukkan kadar pertambahan berat badan selepas menghentikan ubat adalah lebih pantas tanpa mengira jumlah berat yang hilang sebelum itu.
Ini mungkin kerana individu yang mengamalkan pemakanan sihat dan senaman cenderung mengekalkan tabiat tersebut walaupun berat badan meningkat semula.
Jebb menegaskan ubat GLP-1 adalah alat penting dalam rawatan obesiti, namun obesiti merupakan penyakit kronik yang berulang.
“Rawatan ini dijangka perlu diteruskan sepanjang hayat, sama seperti ubat tekanan darah,” katanya.
Jika demikian, ia akan memberi kesan kepada penilaian sistem kesihatan awam terhadap keberkesanan kos ubat-ubatan ini.
“Data baharu ini jelas menunjukkan ubat ini hanyalah titik permulaan, bukan penawar,” kata Garron Dodd, penyelidik neurosains metabolik dari Universiti Melbourne yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.
Menurutnya, rawatan jangka panjang yang mampan berkemungkinan memerlukan pendekatan gabungan, strategi berpanjangan dan terapi yang mengubah cara otak mentafsir keseimbangan tenaga, bukan sekadar mengawal pengambilan makanan. – AFP
{suggest}
