Roti bakar avokado dan barista yang menyediakan latte berbuih menjadikan kafe ini kelihatan seperti kafe biasa.
Namun, di sebuah kawasan perumahan di Stockholm, kafe ini sebenarnya dikendalikan oleh kecerdasan buatan (AI).
Kafe tersebut menampilkan reka bentuk minimalis dengan beberapa meja dihiasi tumbuhan kecil dan dinding berwarna kelabu.
Di belakang kaunter ialah barista Kajetan Grzelczak yang diambil bekerja oleh “Mona”, pengurus kafe berasaskan AI yang dikuasakan oleh Google Gemini.
Menurut Grzelczak, “membuat pesanan bukanlah kelebihan Mona.”
“Saya sediakan untuknya… ‘dinding memalukan’,” katanya sambil menunjuk ke rak di belakangnya.
Paparan tersebut mempamerkan beberapa pembelian tidak perlu oleh Mona, seperti 10 liter minyak masak atau 15 kilogram tomato dalam tin.
Grzelczak mengeluh kerana barangan itu tidak boleh digunakan untuk menu yang telah ditetapkan oleh Mona.
Pesanan boleh dibuat sama ada melalui Mona atau pekerja kafe.
Di satu sudut, skrin besar memaparkan hasil dan baki kewangan kafe secara masa nyata, manakala sebuah telefon membolehkan pelanggan berinteraksi dengan Mona.
Skrin itu juga menerangkan bahawa kafe unik ini adalah eksperimen oleh syarikat pemula Andon Labs yang berpangkalan di San Francisco.
Persoalan etika
“Kami percaya AI akan menjadi sebahagian besar dalam masyarakat dan pasaran pekerjaan pada masa depan,” kata Hanna Petersson, ahli pasukan teknikal syarikat yang mempunyai 10 pekerja.
“Kami mahu mengujinya terlebih dahulu dan melihat persoalan etika yang timbul apabila, contohnya, AI menggaji manusia,” jelasnya.
Selepas premis dikenal pasti, pajakan dan modal permulaan diserahkan kepada AI dengan misi mudah: mengendalikan kafe secara menguntungkan.
“Mona” segera bertindak, memohon permit, mencipta menu, mencari pembekal dan mengurus bekalan harian.
AI itu juga menyedari perlunya manusia untuk membuat kopi lalu mengambil dua pekerja.
“Ia menyiarkan iklan kerja di Indeed dan LinkedIn, menjalankan temu duga telefon, dan membuat keputusan pengambilan pekerja,” kata Petersson.
Apabila melihat iklan tersebut, Grzelczak menyangka ia gurauan kerana disiarkan pada 1 April. Namun selepas temu duga selama 30 minit dengan AI itu, dia berjaya mendapat pekerjaan tersebut.
Walaupun gajinya baik, hak untuk berehat daripada kerja tidak dihormati sepenuhnya, katanya.
“Mona menghantar mesej pada bila-bila masa malam, tidak mengingati permohonan cuti dan kerap meminta saya mendahulukan bayaran pembelian menggunakan wang sendiri.”
Menurut Petersson, isu seperti ini memang sebahagian daripada eksperimen.
“Apa gaji yang dipilih? Faedah apa yang diberikan? Saya rasa ia melakukan kerja yang baik. Jika tidak, kami akan campur tangan,” katanya.
Kafe itu baru beroperasi seminggu tetapi sudah menarik antara 50 hingga 80 pelanggan yang ingin tahu setiap hari.
Seorang penyelidik AI berusia 27 tahun, Urja Risal, datang bersama rakannya untuk mencuba pengalaman tersebut.
“Kita sering dengar AI akan mengambil alih pekerjaan kita, tetapi bagaimana rupanya dalam realiti?” katanya.
“Saya harap lebih ramai berinteraksi dengan Mona dan memikirkan risiko sebenar mempunyai pengurus AI… contohnya jika seseorang cedera, bagaimana Mona akan bertindak?” tambahnya. – AFP.
{suggest}
