Kaca Mata AR Apple Mungkin Gantikan iPhone Dalam Tempoh 10 Tahun Lagi

Apple pada satu pembentangan tertutup bersama kakitangan mereka telah merancang untuk mula memperkenalkan produk realiti terimbuh (Augmented Reality) berupa set kepala sekitar 2022 dan ia bakal disusuli dengan kaca mata pada tahun yang berikutnya, sepertimana yang dilaporkan oleh The Information.

Perincian mengenai produk-produk masih belum didedahkan sepenuhnya namun pembangunannya akan meliputi arena permainan, video dan mesyuarat maya.

Kaca mata dengan kebolehan AR itu juga dikatakan akan dilengkapi dengan sistem sensor 3D yang dimajukan syarikat itu sendiri dalam beberapa tahun ini.

Lanjutan daripada pembentangan tertutup syarikat tersebut, produk AR seperti kaca mata dilihat bakal menggantikan telefon pintar dalam tempoh 10 tahun lagi. Ia sedikit sebanyak membawa maksud penggunaan telefon pintar sekitar 2030 mungkin sudah sampai ke penghujung bagi sesetengah pasaran seperti contoh pasaran kelas atasan di barat.

Realiti terimbuh tersebut digambarkan sebagai teknologi dimana elemen maya dibawa ke dunia sebenar untuk memberikan pelbagai maklumat berguna.

Namun begitu, bergerak kearah perancangan tersebut Apple membuktikan sama ada pengguna sudah bersedia meninggalkan telefon pintar dan beralih kepada peranti yang dipakai pada wajah mereka.

CEO Apple Tim Cook juga pernah menjelaskan bahawa syarikat kendaliannya memandang realiti terimbuh lebih merupakan teknologi lebih penting berbanding realiti maya (VR) pada masa hadapan.

Ketika ini Apple mempunyai lebih dari 1000 jurutera dalam inisiatif pembangunan realiti terimbuh dan realiti maya dan dengan perkhabaran ini membuatkan kita menanti perkembangan seterusnya.

Sumber: The Information