Mungkin ramai dikalangan kita tidak sedar bahawa esok. 22 Mac 2025 akan berlangsungnya ‘60 Earth Hour‘, iaitu kempen yang diraikan seluruh dunia dengan menutup sementara lampu di sebelah malam untuk selama 60 minit.
Earth Hour 2025 yang merupakan edisi ke-19 oleh WWF ini akan bermula jam 8:30 malam waktu tempatan, dengan tema ‘Berikan satu jam untuk Bumi’ bertujuan untuk mencipta jam terbesar untuk Bumi.
Ia menggalakkan peserta dari semua lapisan masyarakat, di seluruh dunia, untuk berkongsi komitmen dengan mendedikasikan satu jam untuk planet ini.
Sejak penubuhannya pada tahun 2007, Earth Hour telah terkenal dengan lampu di mercu tanda dan rumah di seluruh dunia dimatikan.
Pada 2024, lebih 1.5 juta jam telah diberikan kepada planet Bumi di seluruh dunia.

Kenapa perlu padam lampu?
Bumi yang sedang kita diami kini sedang berada pada titik genting krisis iklim dan alam sekitar, di mana suhu Bumi berisiko melepasi had kenaikan suhu global 1.5°C menjelang 2030 seperti ditetapkan oleh Perjanjian Paris.
Jadi, kempen Earth Hour merupakan salah satu usaha bagi mengekalkan suhu di bawah 1.5°C serta memulihkan alam sekitar sebelum 2030.
Earth Hour menyeru masyarakat dunia untuk bersatu dan meluangkan sejam melakukan sesuatu yang positif demi bumi yang menjadi simbol perpaduan dalam melindungi masa depan bersama.

Apa itu pencemaran cahaya?
Sebelum terciptanya lampu elektrik, kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada cahaya semula jadi siang dan malam.
Ritma semula jadi ini tertanam dalam semua hidupan, dari manusia, haiwan hinggalah tumbuhan.
Namun, sejak Thomas Edison mempatenkan lampu pijar pada 1880, pencahayaan buatan yang dikuasakan elektrik telah menjadi kebiasaan di kebanyakan rumah sejak pertengahan abad ke-20.
Akibatnya, kajian pada 2016 mendapati pencemaran cahaya pada waktu malam kini meliputi hampir 80% permukaan bumi.
Perkembangan teknologi dan urbanisasi menjadikan kawasan dengan cahaya buatan ini meningkat sebanyak kira-kira 2.2% setiap tahun.
Peralihan drastik ini memberi kesan terhadap hidupan liar, biodiversiti, kesihatan manusia dan kecekapan tenaga global.
Walaupun pencemaran cahaya secara umum didefinisikan sebagai cahaya buatan manusia yang menyukarkan pemerhatian langit malam, kesannya sebenarnya jauh lebih serius.
Mengapa pencemaran cahaya menjadi masalah?
1. Mengganggu corak hidupan liar dan biodiversiti
Kajian menunjukkan burung, kelawar dan serangga antara yang terkesan teruk.
Burung migrasi bergantung kepada cahaya semula jadi untuk navigasi, dan pencahayaan buatan mengganggu laluan mereka sehingga menyebabkan kemalangan.
Hidupan laut seperti ikan turut mengubah tingkah laku mereka akibat pencahayaan buatan, seperti berenang ke kawasan yang lebih dalam.
Anak-anak penyu keliru antara cahaya buatan dan cahaya bulan, menyebabkan jutaan mati setiap tahun.
Serangga nokturnal seperti rama-rama terganggu kitar hidupnya sehingga populasi ulat bulu mungkin berkurang separuh.
Cahaya juga mengganggu kelip-kelip dalam proses pembiakan. Kelawar pula cenderung mengelakkan kawasan terang kerana lebih mudah dikesan pemangsa.
Haiwan lain seperti burung hantu, katak dan tikus juga turut terjejas.
2. Risiko kepada kesihatan manusia
Kajian mendapati cahaya buatan pada waktu malam mengganggu jam biologi tubuh manusia, mengganggu pola tidur dan dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser seperti kanser paru-paru, payudara, kolorektal dan prostat.
Para penyelidik mencadangkan langkah segera mengurangkan cahaya buatan, terutamanya di kawasan bandar dan rumah.
3.Pembaziran tenaga dan wang, menyumbang kepada perubahan iklim
Mengurangkan pencahayaan berlebihan selepas waktu kerja seperti di pejabat dan kedai adalah cara mudah untuk menjimatkan tenaga dan mengurangkan pencemaran cahaya.
Kajian Suruhanjaya Eropah mendapati pencahayaan bandar mengurangkan proses semula jadi pembersihan atmosfera, sekali gus menjejaskan kualiti udara.
Forum Ekonomi Dunia dalam laporannya menegaskan pentingnya institusi swasta dan masyarakat memainkan peranan dalam memastikan pembangunan bandar berlaku secara harmoni dengan alam sekitar.
Apa yang boleh kita lakukan tentang pencemaran cahaya?
Pencemaran cahaya boleh dipulihkan semula, ini membezakannya daripada pelbagai jenis pencemaran yang lain.
“Tidak seperti isu alam sekitar lain yang sedang dihadapi dunia, menangani pencemaran cahaya adalah mudah, menjimatkan kos, dan menunjukkan hasil serta-merta,” Ruskin Hartley, Pengarah Eksekutif International Dark-Sky Association.
Antara langkah yang boleh diambil seperti yang disarankan oleh International Dark-Sky Association adalah seperti berikut:
- Kurangkan penggunaan cahaya dengan memasangnya hanya di tempat yang benar-benar perlu, serta gunakan tahap kecerahan paling rendah yang boleh digunakan.
- Gunakan alat kawalan seperti dimmer, pemasa, dan sensor pergerakan supaya lampu beroperasi dengan lebih cekap.
- Gunakan pelindung untuk menghalakan cahaya ke tanah, seterusnya mengurangkan silau.
- Gunakan lampu bercahaya hangat dan kurangkan penggunaan cahaya dengan panjang gelombang biru yang memang diketahui paling mengganggu.
Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama menjayakan kempen 60 Earth Hour yang akan berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam, hari Sabtu, 22 Mac 2025.
Mungkin usaha memadam lampu selama 1 jam ini nampak kecil di mata kita, tetapi ia amat besar membantu Bumi untuk pulih.
{suggest}