Penyelidik Jepun telah memperkenalkan sebuah robot sami yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI), yang menurut mereka mampu memberikan nasihat kerohanian dan berpotensi mengatasi kekurangan sami manusia pada masa hadapan.
Dilatih menggunakan teks-teks Buddha termasuk yang paling esoterik, pihak Universiti Kyoto memaklumkan bahawa mesin itu boleh menjawab soalan sensitif yang mungkin sukar dikongsi dengan manusia lain.
Selain komunikasi suara, humanoid berkaki dua yang dikenali sebagai “Buddharoid” itu turut mampu memberikan kehadiran fizikal di kawasan suci keagamaan.
“Pada masa depan, tidak mustahil ia dapat membantu atau menggantikan sebahagian ritual keagamaan yang secara tradisinya dilakukan oleh sami manusia,” menurut kenyataan universiti itu pada Rabu.
Robot tersebut merupakan ciptaan terbaharu Seiji Kumagai, profesor di Institut Masa Depan Masyarakat Manusia universiti berkenaan. Dengan menggunakan model AI daripada OpenAI dan pihak lain, beliau sebelum ini membangunkan chatbot keagamaan seperti Buddha Bot dan bot katekismus.
Bagi projek terbaharu ini, Kumagai memasang sistem “BuddhaBotPlus” yang dikemas kini pada robot humanoid buatan China, Unitree G1, sekali gus melahirkan sami robot AI tersebut.
Dalam satu pembentangan media di sebuah kuil pada Selasa, Kumagai memperkenalkan robot itu — yang masih belum mempunyai wajah — dengan pakaian kelabu ringkas. Ia merapatkan tangan bersarungnya dalam posisi berdoa, berjalan di hadapan wartawan dan melakukan beberapa tugasan lain.
Ketika duduk di atas kerusi, humanoid itu memberi nasihat kepada seorang wartawan muda tempatan yang mengaku sering berfikir dan bimbang secara berlebihan.
“Buddhisme mengajar bahawa penting untuk tidak mengikut fikiran secara membuta tuli atau bertindak terburu-buru,” katanya dengan suara bariton yang tenang kepada wartawan daripada penyiar nasional NHK.
“Salah satu pendekatan ialah menenangkan minda dan melepaskan fikiran itu sendiri,” tambahnya.
Chatbot keagamaan berasaskan AI kini menjadi alat yang popular — walaupun menimbulkan perdebatan — merentasi agama-agama utama dan digunakan oleh jutaan orang.
Kyoto sebelum ini telah memiliki android bukan AI bernama Mindar yang menyampaikan khutbah, dan di Jerman pada 2017, sebuah robot dengan skrin sentuh serta tangan bercahaya diperkenalkan untuk memberi berkat dalam lima bahasa.
Namun, mesin baharu ini menggabungkan AI dan robotik, menawarkan nasihat kerohanian serta perbualan keagamaan sambil melakukan pergerakan fizikal seperti manusia.
Universiti Kyoto menegaskan bahawa perbincangan etika perlu diteruskan berhubung penggunaan teknologi sedemikian dalam konteks keagamaan.
Dengan populasi Jepun yang semakin mengecil dan menua sehingga mengetatkan pasaran tenaga kerja, universiti itu menyatakan bahawa humanoid mungkin mengambil alih sebahagian tugas pada masa depan.
“Pada masa depan, robot humanoid AI dijangka digunakan dalam bidang keagamaan, seperti membantu atau melaksanakan sebahagian ritual yang secara tradisinya dijalankan oleh sami manusia. Ini dijangka membawa perubahan paradigma dalam budaya keagamaan.”
– AFP.
{suggest}
