Indonesia dilaporkan kini mengetuai pengembangan industri animasi ASEAN di mana artis yang mahir dan lebih murah serta tenaga kerja yang semakin mengecil di Jepun telah memacu pertumbuhan studio animasi di Indonesia.
Seperti yang dilaporkan Nikkei Asia, studio-studio animasi di Indonesia seperti Jiva Animation yang berpangkalan di Jakarta, baru-baru ini terpaksa menangguhkan produksi lain kerana pasukannya yang terdiri daripada 40 orang sedang mengerjakan banyak kerja.
“Permintaan untuk anime telah mengalami peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun lalu. Sehubungan itu, saya mendapati perlu untuk menangguhkan beberapa projek lain,” Aswin Nur Cahya, pengasas Jiva Animation.
Cahya sebelum ini pernah bekerja untuk Colour & Smile, sebuah syarikat animasi yang berpangkalan di Jepun yang terlibat dalam penghasilan salah satu anime paling popular, “Attack on Titan.”

Permintaan anime melonjak, Jepun kekurangan pekerja
Permintaan kandungan anime telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang salah satunya berpunca daripada permintaan platform penstriman.
Netflix pada separuh pertama 2023 sahaja telah merekodkan 3.5 bilion jam tontonan anime di seluruh dunia, peningkatan 14% daripada tempoh yang sama pada 2022.
Jumlah itu sekali gus mewakili hampir 4% daripada keseluruhan jam tontonan platform tersebut.
Pemerhati industri berkata, studio Asia Tenggara amat mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat ini kerana mereka boleh menawarkan produk berkualiti tinggi dengan kos buruh yang jauh lebih rendah daripada tempat seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Tenaga kerja Jepun yang semakin mengecil juga menjadi antara elemen penting yang memacu kerjasama dengan rakan kongsi Asia Tenggara.
“Tenaga kerja Asia Tenggara yang muda dan pelbagai, kos buruh yang lebih rendah dan kebiasaan dengan estetika anime menjadikannya lokasi yang menarik untuk animator dan artis, terutamanya mereka yang membesar menonton anime, dan jaraknya yang berdekatan dengan Jepun memudahkan kerjasama perniagaan,” kata Richardson Handjaja, pengasas Animenomics, sebuah portal dalam talian yang memantau industri ini.
Lindra Hismanto, pengasas bersama dan pengarah eksekutif Studio Ubud, sebuah studio dengan lokasi di Jakarta dan Sukoharjo, Jawa Tengah, menjadi tajuk utama di kalangan peminat anime Indonesia selepas studionya terlibat dalam anime Shonen yang dicipta oleh penulis Tite Kubo, Bleach, terutamanya untuk musim terbarunya, “Thousand-Year Blood War.”
“Kebolehcapaian anime melalui platform penstriman telah menyumbang kepada pengembangan industri, kerana ia menawarkan pelbagai pilihan genre yang sesuai untuk semua kumpulan umur,” kata Hismanto, sambil menambah bahawa populariti studio yang semakin meningkat juga telah membolehkannya bekerjasama dalam pelbagai produksi anime.

Tenaga kerja Jepun yang semakin mengecil, yang menjejaskan studio animasinya, merupakan elemen penting yang memacu kerjasama dengan rakan kongsi Asia Tenggara.
Institut Penyelidikan Jepun percaya penurunan populasi dan perolehan studio yang berlebihan mungkin mengurangkan pengeluaran anime sekitar 10% menjelang 2030.
Ia meramalkan bilangan animator akan menurun kepada kira-kira 5,600 daripada 6,200 pada 2019, seperti yang dilaporkan oleh Animenomics.
“Kemerosotan tenaga buruh Jepun memberikan cabaran kepada studio dari segi pekerjaan, namun ia juga menawarkan peluang untuk menjana peluang pekerjaan tambahan [untuk kami],” kata Hismanto, yang telah bekerja dalam industri selama lapan tahun dan menggaji 100 animator di studionya yang turut terlibat dengan produksi anime popular, One Piece.
Sokongan Kerajaan penting untuk pertumbuhan industri
Aswin Nur Cahya pengasas studio Jiva Animation menyatakan bahawa kemahiran yang meningkat akan menarik perhatian studio produksi anime yang lebih besar.
Beliau turut mengatakan, sokongan kerajaan yang lebih besar diperlukan untuk mengembangkan lagi industri dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Cahya menekankan bahawa menjadi animator yang mahir hanyalah permulaan, dan ekosistem yang menyokong produk animasi di Indonesia masih kurang berbanding Jepun.

Sehubungan itu beliau memaklumkan, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia sedang dalam proses mewujudkan ekosistem untuk memudahkan pertumbuhan industri animasi dengan kerjasama Sekretariat Negara.
Kementerian ini juga memudahkan pembiayaan untuk produk IP animasi melalui Persidangan dan Festival Industri Kreatif Antarabangsa di Yogyakarta, serta menggalakkan pertumbuhan dan kerjasama industri animasi Indonesia.
Selain itu, kementerian dan kedutaan Indonesia telah menganjurkan pertemuan perniagaan industri animasi antarabangsa, termasuk kerjasama antara studio animasi Indonesia dan Rusia dalam perkongsian IP dan perkhidmatan produksi.
{suggest}
Sumber: Nikkei Asia