Kerajaan kini mengumumkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan komunikasi untuk membangunkan pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan rakyat. Pelan yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
Pelan yang dirangka melalui sesi makmal ini akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi di seluruh negara disamping mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G. Ia akan dilaksanakan secara berfasa dimana Fasa 1 telah pun dimulakan.
Bagi Fasa 1, ia melibatkan beberapa perkara berikut:
- Memperluaskan liputan jalur lebar muah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk.
- Mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps.
- Membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.
Setelah platform yang kukuh dalam Fasa 1 dapat dicapai, Fasa 2 yang melibatkan peralihan kepada 5G akan menyusul. Ia selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12.
Selain itu, ia juga akan memberi manfaat kepada rakyat negeri Sabah dan Sarawak dengan pelaksanaan JENDELA dari tahun 2020 sehingga 2022.
Pelan tindakan JENDELA ini akan menyediakan akses kepada pengguna untuk menilai liputan dan kualiti perkhidmatan bagi membolehkan perancangan dan pembinaan infrastruktur digital dimudahcara supaya perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi dapat diberikan kepada pengguna pada kadar lebih segera.
Ianya akan turut dipantau bagi memastikan pelan ini dapat dilaksanakan dengan baik di seluruh negara.
Sumber: Perdana Menteri via BERNAMA