Filem Original di Netflix merupakan terbitan asli keluaran perkhidmatan tersebut. Namun, Netflix tidak sewenang-wenangnya menggunakan mana-mana kamera sebaliknya menetapkan syarat-syarat yang ketat.
Menurut Netflix, 90% daripada keseluruhan masa terbitan seharusnya dirakam melalui kamera yang disahkan oleh Netflix sendiri. Namun, untuk terbitan lain dan bukan Original, ia tidak tertakluk dengan syarat-syarat ini.
Untuk itu, ini merupakan spesifikasi minimum kamera yang diperlukan:
Resolusi
Minimum 4K UHD. Anda juga sudah tentu tahu bahawa setakat ini Netflix hanya menyokong resolusi setakat 4K sahaja. Ini adalah disebabkan 4K merupakan piawaian resolusi tinggi yang boleh dikira normal. Ditambah lagi dengan TV 4K yang semakin murah dijual di pasaran.
Format Rakaman
- RAW (X-OCN, REDCODE, Arriraw, dan lain-lain)
- Format Mampat / Compressed (XAVC, AVC-Intra, ProRes, lain-lain format I-Frame)
- Minimum Bitrate 240Mbps pada 24fps
- Warna – S-Gamut3.cine, RED Wide Gamut RGb, Alexa Wide Gamut, lain-lain
Ini merupakan antara spesifikasi minimum yang diperlukan dalam sesebuah kamera untuk Netflix. Untuk format RAW, setiap jenama mempunyai nama yang berlainan seperti Sony dengan X-OCN, RED dengan REDCODE dan Arri dengan Arriraw.
Sama juga seperti format jenis mampat dan juga warna. Untuk minimum fps dan bitrate iaitu Netflix menetapkan pada kadar 240Mbps dan juga 24fps.
Nisbah Video Rakaman
Netflix menyarankan rakaman video maksimum dengan nisbah 2:1. Jika melebihi tetapan nisbah yang disarankan, ia perlu dibawa berbincang dengan pengurusan Netflix sendiri.
Kamera Tambahan
Ada sesetengah penerbitan menggunakan kamera tambahan seperti kamera kemalangan, point-of-view (POV), dron, kamera aksi, dan sebagainya. Untuk itu, ia perlu dirujuk semula kepada pihak penerbitan Netflix.
Ini adalah kerana ia berbalik kepada keperluan asas iaitu 90% daripada masa tontonan adalah dari kamera yang diiktiraf Netflix.
Lain-Lain
Netflix tidak menggalakkan simpanan klip rakaman melebihi satu kad memori. Selain itu, jika ada produksi yang mahu merakam menggunakan kamera jenis filem, mereka harus berhubung dengan pengurusan Netflix terlebih dahulu.
Jenama Kamera
Ini merupakan antara kamera yang digunakan oleh produksi terdiri dari pelbagai jenama seperti SONY, ARRI, RED, Canon, Blackmagic, Panavision, Panasonic dan lain-lain.
SONY
SONY VENICE merupakan antara kamera pilihan dalam menerbitkan produksi Netflix. Dilancarkan pada tahun 2017, ia hadir dengan rakaman maksimum 6K dari sensor full-frame.
Ia direka dan dibina sesuai untuk produksi tahan lasak serta mempunyai kipas terbina yang senyap. Harga jualan kamera ini adalah 42,000 USD (~RM179,025) namun kebanyakan kes, pihak produksi hanya menyewa atau meminjamya sahaja dari studio ternama.
Antara terbitan yang dirakam menggunakan kamera ini adalah Sex Education, Top Gun: Maverick dan Living With Yourself.
ARRI
ARRI kurang dikenali di Malaysia namun kamera ini merupakan antara jenama yang popular di luar negara. ARRI Alexa 65 adalah antara yang model digunakan oleh kebanyakan terbitan di Netflix.
Diperkenalkan pada tahun 2014, ia merupakan kamera dengan sensor jenis format medium yang mampu merakam sehingga resolusi 6K. Filem pertama yang menggunakan kamera ini adalah dari Mission: Impossible – Rogue Nation.
Kemudiannya, ia digunakan untuk filem Avengers seperti Infinity War dan Endgame. Dikatakan kamera ini hanya boleh disewa sahaja melalui ARRI Rental Group dan tidak boleh dibeli.
RED
RED merupakan antara jenama pelopor yang meneroka resolusi tinggi pada awalnya. Rata-rata model dari RED kebanyakannya sudah boleh merakam resolusi 8K.
Antara model yang popular adalah RED Monstro 8K VV. Seperti mana namanya, ia mampu merakam sehingga resolusi 8K dan gambar bersaiz 35.4MP.
Ketika pelancarannya pada tahun 2017, ia dijual pada harga 80,000 USD (~RM340,200) yang sudah tentu membuka ramai mata peminat juruvideo adakah ia berbaloi dengan harganya.
Antara filem yang dirakam menggunakan kamera ini adalah Extraction dan juga Stranger Things.
Canon
Canon secara kasarnya merupakan jenama yang agak perlahan dalam beralih kepada resolusi rakaman yang lebih tinggi. Untuk penawaran yang paling popular digunakan adalah Canon C300 Mark II.
Ia diumumkan pada tahun 2015 dan merupakan kamera dengan sensor 4K. Untuk harga jualan, ia dipasarkan berharga 15,999 USD (~RM68,035).
Antara filem yang dirakam menggunakan kamera ini adalah Icarus.
Terdapat banyak lagi kamera yang diiktiraf Netflix. Untuk melihat lebih banyak lagi senarai penuh dan juga spesifikasi minimum kamera, boleh ke laman rasmi Netflix.
Apa yang pasti, kamera-kamera yang merakam terbitan Netflix ini bukanlah sesuatu yang murah malahan mencecah ratusan ribu. Namun, ia adalah perlu untuk Netflix sendiri untuk menjaga kredibiliti mereka sebagai salah satu perkhidmatan penstriman popular masa kini.
Sumber: Netflix