Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Jangan Biarkan Malaysia Jadi Tong Sampah Elektronik Dunia

Posted on Julai 30, 2025Julai 30, 2025

Ya, Malaysia telah menjadi pusat lambakan e-waste haram. Boleh dikatakan hampir setiap bulan, ada sahaja laporan media tentang serbuan pihak berkuasa ke atas operasi kilang haram memproses e-waste (sisa elektronik) dan kontena yang mengandungi e-waste disita.

Keadaan ini berlaku ekoran daripada sikap negara-negara maju seperti AS, UK, Australia, Korea, Jepun dan China yang gagal mengurus sisa ini dengan tanggungjawab serta tindakan mereka mengetatkan pengimportan sisa elektronik dan plastik ke dalam negara mereka sendiri.

Alternatifnya, mereka mengalihkan sisa elektronik ini ke negara membangun di Asia Tenggara seperti Malaysia yang dilihat sebagai “port” murah untuk sisa elektronik dilupuskan.

Mereka mengambil kesempatan di atas kelemahan undang-undang Malaysia berkaitan sisa elektronik dan memanipulasi tenaga buruh yang murah.

Ini telah menyebabkan berlakunya peningkatan drastik kilang-kilang haram dan tapak buangan tidak terkawal di Malaysia.

Tahukah anda bahawa, dari 1 juta telefon bimbit yang dikitar semula, sebanyak 16,000kg kuprum, 350kg perak, 34kg emas dan 15kg paladium boleh diperoleh semula.

E‑waste terbahagi kepada dua kategori utama iaitu sektor industri dan domestik (rumah).

Peranti seperti telefon mudah alih, komputer riba dan televisyen menjadi penyumbang terbesar kepada sisa elektronik.

Di Malaysia, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar.

E-waste bukanlah sisa yang tidak berharga. Ini kerana, komponen – komponen di dalam e-waste mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium.yang mempunyai nilai  kitar semula yang tinggi.

Sebab itulah,  kilang haram ini wujud untuk mendapatkan logam berharga seperti emas, perak, dan tembaga.

Tetapi, pada masa yang sama, e-waste juga mengandungi bahan-bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik dan pelbagai lagi bahan beracun yang akan meresap ke dalam bumi .

Bahan-bahan berbahaya ini boleh mencemarkan sumber air serta mengancam hidupan akuatik dan manusia jika e-waste tidak dilupuskan dengan betul secara mesra alam seperti yang sepatutnya.

Kilang haram memproses e-waste tidak mempedulikan alam sekitar, keuntungan yang menjadi keutamaan mereka.

Sebab itulah, pihak berkuasa meliputi PDRM, Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi berkaitan memerangi kilang-kilang haram memproses e-waste ini di seluruh Malaysia.

Ini kerana, kilang-kilang haram ini memproses e-waste secara tidak betul seperti pembakaran terbuka dan penggunaan asid yang menjejaskan tanah dan air.

Namun, walau pun kilang haram e-waste terus dibanteras, tetapi ia masih terus wujud dan sukar dikesan.

Buktinya, serbuan terkini dalam bulan Julai di Melaka melibatkan kilang haram dilapor mengeluarkan 300 tan aluminium ingot bernilai RM2.1 juta hasil daripada sisa elektronik. menonjolkan trend pemprosesan bahan berharga seperti aluminium dari e‑waste secara tidak sah di Malaysia.

Malah, hasil daripada siasatan pihak berkuasa mendapati, kewujudan operasi kilang-kilang haram ini turut disyaki dibelakangi individu-individu berpengaruh dan berpangkat.

Tidak cukup dengan itu, operasi sindiket e-waste turut dilindungi oleh anggota pihak berkuasa yang melakukan khianat dengan menerima sogokan.

Akibatnya, walaupun tindakan penguatkuasaan semakin kuat, negara masih bergelut menghadapi arus e-waste ini yang dilihat seakan tiada kesudahannya.

Memberikan kesedaran terhadap orang awam cara pelupusan e‑waste yang betul perlu dipertingkatkan kerana msih ramai yang tidak faham, memandang enteng isu ini atau tidak ada akses kepada kaedah pengumpulan yang mudah dan selamat.

Justeru, adalah penting sebagai rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu e-waste ini.

Bermula dari diri sendiri, anda boleh menyumbang dengan membuang peranti elektronik yang sudah rosak ke pusat-pusat pengumpulan sisa elektronik yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Semakan di laman rasmi Pengurusan E-waste di Malaysia menyenaraikan  sejumlah 344 lokasi di seluruh Malaysia bagi tujuan pengumpulan dan kemudahan pemerolehan kembali sisa elektronik.

Sudah tentunya selain rakyat, pihak Kerajaan perlu mewujudkan undang-undang yang lebih ketat dalam mengawal dan mengurus sisa elektronik ini daripada tidak terkawal.

Operasi gempur ke atas pusat e‑waste haram yang dilaksanakan pihak berkuasa memberi gambaran jelas bahawa Malaysia komited memerangi kegiatan ini.

Namun begitu, kelemahan dalam kawalan sempadan dan pengesanan kontena  perlu diperbaiki bagi mengekang aliran e-waste ini daripada diseludup masuk ke dalam negara.

Tidak cukup dengan hanya memulangkan kontena e‑waste yang dirampas balik ke negara asal kerana ia pasti akan kembali dan kitaran ini tidak akan ada kesudahannnya jika ia terus dibiarkan begini.

Sekadar arahan penutupan kilang-kilang haram ini juga bukan penyelesaian mutlak kerana ia pastinya akan wujud kembali.

Kerajaan perlu menyatakan ketegasan terhadap negara-negara maju dalam isu ini atau usaha pihak berkuasa tempatan menghapuskan kewujudan kilang haram e-waste tidak akan ada penghujungnya.

Adalah penting memotong kegiatan sindiket dari puncanya yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit untuk e‑waste global dari negara maju dan memastikan pengurusan e-waste hanya dioperasikan oleh kilang berlesen.

Justeru, Kerajaan perlu menambah baik infrastruktur untuk menampung kapasiti pusat kitar semula yang dijangka akan bertambah saban tahun.

Dijangkakan sebanyak 24.5 juta unit E-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025. Kredit: Jabatan Alam Sekitar

Sedarlah bahawa, kesan e-waste terhadap alam sekitar serta kesihatan masyarakat adalah serius.

Semoga, akan ada penyelesaian hasil daripada penyelidikan dan pembangunan teknologi oleh universiti-universiti untuk mengurus dan memproses sisa elektronik ini secara lestari.

Bersamalah kita membanteras kilang haram e-waste dan bertanggungjawab dalam menguruskan sisa elektronik dengan bijak demi Malaysia.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress