Mencari kerja hari ini bukan sahaja tentang peluang, tetapi juga tentang berjaga-jaga. Dengan peningkatan ketara dalam kes penipuan kerja di Malaysia dan rantau ini, pencari kerja kini berdepan pelbagai taktik penipuan yang semakin licik dan sukar dikenal pasti.
Tawaran gaji tinggi untuk tugasan mudah, iklan kerja sambilan dari rumah, dan mesej peribadi yang menjanjikan pendapatan segera. Semuanya kelihatan menarik, tetapi boleh menjadi perangkap yang berbahaya.
Dalam separuh pertama 2024, kes penipuan berkaitan pekerjaan terus meningkat. Menurut data daripada Jobstreet by SEEK, antara Julai 2023 hingga Jun 2024, lebih 1,200 iklan kerja palsu telah dikenal pasti dan dibuang, manakala lebih 1,400 pihak pengiklan berisiko tinggi disekat sebelum dapat mengakses platform.
Penipuan ini bukan hanya melibatkan kerugian wang, tetapi juga boleh menyebabkan kesan undang-undang dan kerosakan reputasi peribadi.
Berikut adalah beberapa bentuk penipuan kerja paling kerap digunakan ketika ini, dan bagaimana untuk mengenal pasti serta mengelakkannya:
1. Penipuan tugasan mata wang kripto
Scam jenis ini menyasarkan individu yang mencari kerja sambilan atau tugasan fleksibel dari rumah.
Mangsa dijanjikan bayaran dalam bentuk mata wang kripto untuk menyelesaikan tugasan mudah seperti mengisi borang atau menyertai kaji selidik.
Namun, sebelum tugasan dimulakan, mereka diminta membuat bayaran awal atau membeli sejumlah kripto untuk “mengaktifkan” akaun.
Selepas bayaran dibuat, penipu akan menghilangkan diri dan mangsa tidak menerima sebarang tugasan mahupun bayaran. Tiada jalan mudah untuk mendapatkan semula wang tersebut kerana ia tidak dilindungi oleh sistem kewangan biasa.
2. Penipuan pengaliran wang (Money Mule)
Penipu menawarkan kerja seperti “pengurus pembayaran” dengan ganjaran tinggi. Setelah mangsa bersetuju, mereka diminta menerima wang ke dalam akaun bank peribadi dan memindahkannya ke akaun lain, kononnya untuk tujuan operasi perniagaan.
Apa yang sebenarnya berlaku ialah mangsa secara tidak sedar membantu penjenayah memindahkan wang hasil jenayah. Dalam banyak kes, individu yang terlibat boleh didakwa atas kesalahan berkaitan pengubahan wang haram.
3. Penipuan pencurian identiti
Dalam kes ini, penipu mencipta iklan kerja palsu yang menyamar sebagai syarikat sah, lengkap dengan nama, logo dan saluran komunikasi yang meyakinkan.
Mereka kemudian meminta pemohon menghantar dokumen seperti kad pengenalan, penyata bank, atau lesen memandu.
Maklumat ini kemudiannya digunakan untuk membuat pinjaman atau membuka akaun atas nama mangsa tanpa pengetahuan mereka. Akibatnya, mangsa menanggung beban kewangan dan kesukaran membuktikan identiti sebenar.
4. Penyamaran melalui WhatsApp atau media sosial
Scammer kini semakin aktif menghantar mesej secara langsung kepada individu melalui WhatsApp, media sosial atau SMS.
Mereka mungkin menyamar sebagai wakil syarikat pencarian kerja atau menyatakan bahawa resume pemohon telah dipilih untuk jawatan tertentu.
Biasanya, mereka akan meminta mangsa untuk berurusan di luar platform rasmi, seperti menghantar dokumen melalui Google Form atau aplikasi pemesejan.
Ini merupakan petanda jelas bahawa komunikasi itu bukan daripada pihak yang sah.
Bagaimana melindungi diri?
Penipuan kerja kini lebih licik dan canggih, menjadikannya sukar dikenal pasti oleh pencari kerja.
Namun, terdapat beberapa langkah asas yang boleh membantu pencari kerja mengelakkan diri daripada menjadi mangsa:
- Jangan bayar sebarang yuran pendaftaran, latihan atau “deposit” untuk kerja.
- Jangan kongsi maklumat peribadi sensitif di luar platform rasmi atau kepada pihak yang tidak dapat disahkan.
- Sahkan nama syarikat, laman web dan alamat emel pengiklan melalui sumber rasmi.
- Elakkan sebarang komunikasi yang meminta maklumat melalui aplikasi pemesejan seperti WhatsApp jika tidak bermula dari saluran rasmi.
Jobstreet by SEEK memaklumkan bahawa semua komunikasi rasmi hanya berlaku dalam platform mereka.
Mereka juga menegaskan bahawa mereka tidak akan meminta bayaran atau butiran peribadi melalui saluran tidak rasmi.
Scam pekerjaan bukan sekadar menyebabkan kerugian kewangan — ia juga boleh menjejaskan keyakinan dan motivasi individu dalam mencari pekerjaan sebenar.
Oleh itu, adalah penting untuk kekal waspada, semak sebelum percaya, dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa atau platform pengiklanan kerja yang berkaitan.
{suggest}