Seperti semua sedia tahu, kini sedang hangat diperkatakan tentang isu duit salah seorang pengguna e-dompet TnG yang dibekukan.
Alasan yang diberikan oleh TnG setakat ini dilihat tidak cukup jelas dan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna tersebut. Proses penjelasan yang agak perlahan pula menambah kesukaran kepada beliau.
Respon daripada pihak TnG juga dilihat kurang meyakinkan dan mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna.
Isu ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana tahap pengawalseliaan dan limitasi pihak berkuasa terhadap sesebuah syarikat yang menyediakan servis kewangan di Malaysia.
Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya bertindak dan meneliti semula garis panduan ke atas syarikat seperti ini yang boleh menyekat akaun pengguna tanpa alasan yang dirasakan kukuh oleh pelanggan serta lambat bertindak bagi memudahkan urusan mereka.
Kementerian Kewangan Malaysia juga perlu tegas dalam hal ini bagi melindungi hak rakyat.
Kita ada MyCC, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya Persaingan) yang merupakan satu badan bebas untuk melindungi proses persaingan bagi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi.
Mereka sepatutnya melindungi pengguna lebih awal dengan memastikan tiada isu duit pelanggan disekat tanpa proses yang jelas, telus dan mudah dicabar melalui saluran yang betul.
Lihat sahaja bagaimana TnG memegang kedudukan dominan dalam pembayaran tol di seluruh Malaysia.
Ya, memang ada cara pembayaran lain yang boleh dibuat iaitu dengan menggunakan kad debit bank, tetapi pilihan ini masih terhad menyebabkan kurangnya pilihan sebenar kepada pengguna.
Malah tidak semua lebuh raya di Malaysia tersedia menyokong pembayaran menggunakan kad debit bank ini.
Walaupun pembayaran tol boleh dibuat menggunakan Smart Tag dan RFID, ia masih bergantung penuh kepada TnG yang perlu ditambah nilai melalui servis mereka.

Kes tular duit pelanggan TnG yang disekat itu mungkin terpencil, dengan sebilangan pengguna lain mendakwa turut berdepan isu yang sama.
Namun, ia tetap memberi isyarat jelas bahawa perkara sebegini boleh berlaku kepada pengguna lain juga, termasuk diri kita sendiri. Bila sudah terkena, barulah kita merasai sendiri kesukaran yang dihadapi mangsa.
Sebagai rakyat, apa yang sangat diharapkan dari pihak berkuasa adalah usaha memecahkan kebergantungan kepada satu pemain utama dalam sistem pembayaran di Malaysia, termasuk di tol lebuh raya dan sistem pengangkutan awam.
Tolonglah bertindak dan menyediakan alternatif lain yang memudahkan, dalam masa yang sama memastikan duit rakyat terjamin selamat dan tidak mudah disekat tanpa proses yang jelas serta mekanisme rayuan yang adil.
Penyedia servis kewangan tidak seharusnya dibiarkan beroperasi tanpa kawalan yang kukuh, kerana kelemahan pengawasan hanya akan membuka ruang kepada isu yang menjejaskan pengguna.
{suggest}
