Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

ISS 25 Tahun: Makmal Terapung Yang Menjadi Simbol Perpaduan Global

Posted on Disember 15, 2025Disember 16, 2025

Pada tahun ini, dunia meraikan ulang tahun ke 25 kehadiran manusia secara berterusan  di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

ISS dianggap sebagai projek kejuruteraan paling kompleks dalam sejarah moden.

Walaupun pembinaannya hanya bermula dalam tahun 1998, idea stesen angkasa telah bermula seawal abad ke-19 lagi apabila Konstantin E. Tsiolkovsky (1857-1935), membayangkan manusia hidup dalam keadaan terapung di orbit.

Lakaran oleh Tsiolkovsky mengenai stesen angkasa di angkasa (1883).

Tsiolkovsky telah menginspirasikan ramai jurutera dan saintis angkasa lepas masa depan di tanah airnya, termasuk Ketua Pereka Sergei P. Korolev yang membangunkan banyak roket dan kapal angkasa perintis Kesatuan Soviet.

Walaupun selepas kematiannya pada 1966, rancangannya untuk mebina stesen angkasa diteruskan oleh  penggantinya di mana percubaan pertama di dunia stesen angkasa ke orbit itu dinamakan sebagai Salyut.

Modul pertama itu telah menjadi asas bagi stesen angkasa Soviet dan Rusia kemudiannya serta Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang ada sekarang.

Pemandangan stesen angkasa pertama, Salyut yang diambil oleh kru Soyuz 10 pada April 1971.
Ilustrasi stesen angkasa lepas Salyut dengan kapal angkasa pengangkut kru Soyuz yang menghampiri dari kiri atas.

Amerika pula melalui Wernher von Braun pada awal 1950 membayangkan stesen berbentuk roda, namun teknologi ketika itu belum mampu untuk merealisasikannya.

Tetapi hanya pada 14 Mei 1973, barulah NASA melancarkan stesen angkasa pertama mereka iaitu Skylab ke orbit sebagai stesen eksperimen.

Von Braun menunjukkan model stesen angkasanya berbentuk roda (1956).
Skylab 1, stesen angkasa pertama Amerika adalah seberat 169,000 paun (~76,657kg) dilengkapi pelbagai bengkel bertekanan, pintu udara, dan satu set teleskop, dengan jumlah isi padu yang boleh didiami sebanyak 12,417 kaki padu (~351 meter padu). Tapi, legasi Salyut jelas terlihat dalam elemen stesen angkasa lepas generasi seterusnya,

Namun begitu, hanya pada 1984, barulah NASA betul-betul merancang untuk membina stesen angkasa lengkap mereka sendiri selepas Presiden AS ketika itu,  Ronald Reagan mengarahkan pembinaan sebuah stesen angkasa kekal yang akan dikenali sebagai Stesen Angkasa Freedom.

Tapi, projek super mega ini tidak dibangunkan secara sendirian oleh AS, sebaliknya ia menuntut kerjasama beberapa negara lain termasuklah Jepun, Kanada dan 9 lagi anggota ESA (Agensi Angkasa Eropah).

Dalam pada itu, Kesatuan Soviet telah pun berjaya melancarkan stesen angkasa Mir pada 1986 yang merupakan stesen modular pertama yang boleh berkembang dengan pelbagai modul tambahan.

Modul Blok Asas Mir (1986-2001).
Foto Stesen angkasa Rusia Mir yang diambil dari Space Shuttle Discovery semasa misi STS-91 (1998).

Namun, selepas kejatuhan USSR (Union of Soviet Socialist Republics) pada 1991, Rusia berdepan kekangan kewangan sekali gus merencatkan pembangunan versi seterusnya Mir-2.

Tetapi , Rusia tetap memiliki kepakaran operasi angkasa yang menyebabkan Presiden AS ketika itu, Bill Clinton menjemput Rusia pada 1993 bagi menyertai projek antarabangsa untuk menggabungkan elemen Freedom dan Mir-2.

Persetujuan Rusia menyertai projek tersebut telah merealisasikan pembinaan sebuah Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang kita ketahui hari ini.

Pada 29 Januari 1998,  Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, Kanada dan ESA (Agensi Angkasa Eropah) telah menandatangani perjanjian kerjasama baharu dengan melancarkan modul pertama dari Rusia, Zarya yang dilancarkan pada November 1998.

3 minggu kemudiannya diikuti pelancaran modul Unity Node 1 yang menjadi platform terbesar ISS dan Zvezda pula yang dilancar pada Julai 2000 membawa modul untuk krew angkasawan tinggal di ISS.

Tidak lama selepas itu iaitu pada 31 Oktober 2000, barulah kru Expedition 1 seramai 3 orang angkasawan bertolak ke ISS dan menjadi penghuni pertama ISS.

Zarya menjadi elemen orbit pertama bagi ISS.
Saat pelancaran Space Shuttle Endeavour yang membawa modul Unity ke orbit.
Zarya dipasangkan dengan Unity di ruang kargo Shuttle dan angkasawan berada di luar membuat sambungan antara kedua-dua modul itu, sekali gus bermulanya pembinaan stesen angkasa ISS.
Krew Expedition 1 (dari kiri ke kanan) Gidzenko, Shepherd, dan Krikalev di dalam modul Zvezda.

Selepas fasa pemasangan selesai, ISS beralih kepada era penyelidikan dan komersialisasi.

NASA mula memperuntukkan masa kru khusus untuk eksperimen saintifik, serta melancarkan program kargo dan kru komersial bersama SpaceX, Orbital dan Boeing.

Inisiatif ini telah menjadi asas kepada stesen angkasa komersial masa depan.

Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie menjadi Angkasawan Negara pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007 dengan menaiki kapal angkasa Soyuz.

Kini, ISS menjadi makmal mikrograviti terbesar dunia, dihuni secara berterusan lebih dua dekad sekali gus simbol kerjasama global dan asas kepada penerokaan angkasa lepas masa depan.

ISS telah membentuk asas kerjasama global dan membuka pintu kepada model komersial yang lebih mampan. Walaupun berdepan cabaran teknikal dan politik, para jurutera berjaya “bercakap dalam bahasa yang sama” melalui sains dan matematik.

Apa yang dapat disimpulkan adalah kejayaan terbesar ISS bukan sekadar pencapaian dalam kecanggihan teknologi, tetapi model kerjasama antarabangsa yang membuktikan bahawa  manusia mampu berganding bahu dan mencapai sesuatu walaupun sukar demi misi bersama.

Namun, binaan hebat ini yang sudah berusia 25 tahun akan ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 2030 nanti dengan kuburnya telah ditetapkan di Point Nemo di Laut Pasifik yang mempunyai kedalaman sehingga 4km.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress