iQOO 3 Kini Rasmi, Dilengkapi Snapdragon 865 Dan FlashCharge 55W

Diperkenalkan sebagai sub-jenama kepada Vivo, iQOO kini sudah memasuki generasi ketiga dengan pelancaran secara rasmi iQOO 3. Melalui model ini, beberapa spesifikasi terbaik telah dimuatkan bagi mencabar pasaran telefon pintar sedia ada.

Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO 3 rasmi diperkenalkan dengan cip pemprosesan Snapdragon 865, RAM LPDDR5 8GB/12GB dan storan sehingga 256GB. Rekaan luar pula menampilkan panel Super AMOLED 6.44 inci dengan resolusi FHD+. Dibawahnya diletakkan dengan pengimbas cap jari sementara penjuru kanan ditempatkan dengan rekaan berlubang diisi dengan kamera selfie 16MP.



Selain itu, paparan ini juga berkemampuan menghidangkan kandungan HDR10+ serta kecerahan sehingga 1200nits. Lebih terarah kepada penawaran untuk peminat aplikasi permainan, kadar input bagi iQOO 3 adalah 180Hz tetapi dengan kadar penyegaran 60Hz.

Tugas rakaman belakang diberikan pada 4 jenis kamera iaitu 48MP, 13MP telefoto, 13MP ultra lebar dan 2MP untuk bantuan bokeh.



Seperti kebanyakkan telefon pintar berkelas atasan yang dilancarkan pada tahun 2020, kebolehan 5G menjadi taruhan pada iQOO melalui penggunaan cip dari Qualcomm. Janaan kuasa peranti digapai melalui penggunaan bateri 4400mAh menerusi pengecasan pantas FlashCharge 55W. Ia dikatakan mampu mengecas 50% bateri dalam tempoh lebih kurang 15minit.

Bakal dijual di India pada 4 Mac depan, harga jualan bagi iQOO bermula dari 36990 Rupee (~RM2179) sehingga 44990 Rupee (~RM 2650).