Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
iQIYI Dikecam Selepas Rancang Guna Wajah Pelakon Dijana AI

iQIYI Dikecam Selepas Rancang Guna Wajah Pelakon Dijana AI

Diterbitkan April 21, 2026 · Dikemas kini April 21, 2026 oleh ariff bukhari

Syarikat penstriman China yang setara dengan Netflix, iQIYI berdepan kecaman pada Isnin susulan inisiatif baharu yang memudahkan penggunaan rupa pelakon dalam drama dan filem yang dijana secara kecerdasan buatan (AI).

Lebih 100 selebriti telah menyertai platform itu untuk berhubung dengan pembikin kandungan AI yang berminat menggunakan imej mereka, menurut seorang eksekutif kanan pada satu persidangan di Beijing.

Industri hiburan China semakin pantas mengadaptasi teknologi AI, dengan filem dan rancangan yang dijana AI kini menjadi ciri biasa di platform video.

Namun, beberapa pelakon China tampil di media sosial menegaskan bahawa mereka tidak pernah atau tidak akan menyertai “pangkalan data artis” tersebut.

Peminat pula mengkritik langkah iQIYI yang dilihat berpotensi mengurangkan peluang pekerjaan untuk pelakon manusia.

Laman penstriman itu menyifatkan kecaman tersebut sebagai “salah faham” dan menegaskan bahawa pelakon masih mempunyai kawalan terhadap penggunaan imej mereka dalam kandungan AI.

“Kami tidak melesenkan rupa pelakon buat masa ini,” kata Naib Presiden Kanan iQIYI, Liu Wenfeng kepada AFP.

“Sebaliknya, kami memudahkan pencipta AI dan pelakon untuk berhubung dengan lebih cepat melalui Nadou Pro,” katanya merujuk kepada alat AI baharu syarikat itu yang menyasarkan pembikin filem.

Menurut demonstrasi langsung pada Isnin, pengguna boleh memasukkan arahan ke dalam Nadou Pro untuk menghasilkan filem pendek serta menggunakannya bagi tujuan penyuntingan.

“Ini satu salah faham,” kata Liu. “Jenis drama, babak — semuanya perlu disahkan oleh pelakon.”

Peminat turut berang dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif iQIYI, Gong Yu, yang mencadangkan karya sepenuhnya dihasilkan manusia mungkin menjadi “warisan budaya tidak ketara” — istilah yang digunakan di China untuk menggambarkan sesuatu peninggalan masa lalu yang perlu dipelihara.

Frasa “iQIYI sudah gila” menjadi topik paling hangat dibincangkan di platform media sosial Weibo menjelang tengah hari.

“Jika semua pelakon menjadi AI, di mana kehangatan dalam karya sastera dan seni?” tulis seorang pengguna.

Pakar memberi amaran bahawa terdapat risiko apabila AI dibenarkan menggunakan imej seseorang.

“Apabila data imej artis digunakan untuk melatih model platform, terdapat risiko teknikal seperti pelarasan model, kebocoran data dan latihan semula tanpa kebenaran yang sukar dielakkan,” kata Li Zhenwu, peguam dari Shanghai Star Law Firm.

“Ini bermakna aset digital artis boleh digunakan semula di luar kawalan mereka sepenuhnya,” tambahnya.

– AFP.

Berkaitan

  • Kami Dah Putus Asa “Dera” vivo V60 Lite 5G Ni
  • Seedance 2.0 Didakwa Ciplak Karya Hollywood, Ini Respon ByteDance
  • Hollywood "Hidupkan Semula” Val Kilmer Dengan AI Cetuskan Persoalan Etika Dalam Industri Filem

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY